Di Indonesia, seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun dipercayai mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan badannya selepas disambar api ketika membawa botol hand sanitizer di kawasan pembakaran sampah.
Memegang botol hand sanitizer
Kisah sedih ini dikongsikan oleh seorang Kiki Henky Gunawan di laman Facebooknya. Menurut Kiki, ketika kejadian ahli keluarga kanak-kanak ini dikatakan sedang membakar sampah di satu kawasan berdekatan dengan halaman rumah mereka. Mangsa yang dikenali dengan nama Ganjar telah menghampiri kawasan pembakaran tersebut sambil di tangannya memegang botol hand sanitizer.
Namun nasib tidak menyebelahi anak kecil ini, api tiba-tiba marak dan menyambar pada bahagian wajah dan badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah. Menurut sumber, ahli keluarga yang menyedari tentang insiden ngeri itu terus membawa mangsa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan tetapi malangnya pihak hospital terpaksa menolak disebabkan keadaan hospital yang dipenuhi dengan pesakit Covid-19.
Bapa ‘terkandas’ di Tangerang
Mangsa kemudian dibawa ke hospital lain dan dia kini sedang dirawat sebagai pesakit umum. Walau bagaimanapun, ahli keluarganya dikatakan tidak mampu untuk membayar bil perubatan yang berjumlah 21 juta rupiah iaitu bersamaan RM5,740.
Lebih meruntun hati apabila bapa mangsa masih terkandas di Tangerang dan tidak dapat pulang ke rumahnya untuk menjaga serta melawat anak perempuannya itu. Difahamkan, mangsa kini masih mendapatkan rawatan dan lukanya kini beransur pulih.
Sumber: Kiki Henky Gunawan, Tribunnews, World of Buzz