berita

Buka ‘Mask’ Untuk Minum Air, Penunggang Motosikal Didenda RM1,000

November 12th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seperti umum mengetahui, berikutan daripada penularan wabak Covid-19 di Malaysia, pihak kerajaan telah mewajibkan semua rakyat untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam, tempat sesak dan juga ketika berada di dalam pengangkutan awam.

Terbaru, dua penunggang motosikal telah didenda sebanyak RM1,000 seorang kerana menanggalkan pelitup muka ketika minum air.

Buka mask masa minum air

Menerusi laporan yang dipetik World Of Buzz, kejadian tersebut berlaku di Parit Buntar, Perak. Ketika kejadian, kedua-dua individu ini dikatakan dalam perjalanan menuju ke pusat membeli belah untuk menghantar rakan mereka di sana. Mereka kemudian memberhentikan motosikal di hadapan pusat membeli belah itu.

Sementara menunggu, kedua-dua individu ini menurunkan pelitup muka ke dagu untuk menikmati air minuman yang dibeli. Difahamkan, selepas selesai minum, mereka tidak memakai semula pelitup muka tersebut. Mereka kemudian meletakkan cawan minuman itu ke dalam bakul motosikal. Tetapi malangnya tidak lama kemudian, mereka secara tiba-tiba didatangi oleh tiga orang individu yang mengaku sebagai polis. Kedua-dua penunggang motosikal itu dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul.

Menurut sumber, dua daripada individu terbabit dipercayai merupakan pegawai berpakaian biasa kerana mereka tidak memakai pakaian seragam polis. Walaupun begitu, mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah anggota polis. Kedua-dua penunggang motosikal itu diarahkan untuk menaiki kereta dan dibawa ke ibu pejabat polis Daerah Kerian.

Polis nafi anggota bertindak melulu

Susulan daripada kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat melaporkan kepada Sinar Harian bahawa anggota polis yang bertugas sudah memerhati tingkah laku individu yang berusia 17 dan 18 tahun itu selama 10 minit.

Pegawai yang bertugas telah membuat pemerhatian selama 10 minit dan sepanjang tempoh itu, kedua-dua lelaki terbabit masih tidak memakai pelitup muka. Polis turut mempunyai bukti bergambar dan video di tempat kejadian dan ia jelas menunjukkan dua lelaki terbabit melanggar pematuhan SOP ditetapkan.

Tambahnya lagi kompaun berjumlah RM1,000 dikenakan terhadap dua individu terbabit kerana mereka didapati berbual dengan menghadap antara satu sama lain tanpa memakai pelitup muka. Malah mereka juga tidak mematuhi SOP penjarakkan fizikal seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan.

Sumber: World Of Buzz, Sinar Harian

SKIP THIS AD ×