
Program turun padang bukan sekadar sesi bertemu rakyat, tetapi juga peluang untuk melihat sendiri sama ada setiap aduan yang pernah dikemukakan benar-benar telah diselesaikan oleh pucuk pimpinan pentadbiran Negeri Melaka.
Itulah yang dibawa menerusi Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, apabila YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memulakan siri jelajah pertamanya di Sungai Rambai sebagai usaha memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
Bukan rakyat nak jumpa Ketua Menteri, malah Ketua Menteri nak jumpa rakyat santuni segala pemasalahan

Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang menjadi platform rakyat menyuarakan pelbagai isu setempat sejak mula dilaksanakan pada Januari 2025.
Sepanjang pelaksanaan WRUR, sebanyak 4,072 aduan telah diterima. Daripada jumlah itu, 2,982 aduan berjaya diselesaikan, manakala selebihnya masih dalam tindakan oleh agensi berkaitan.
Menurut Ketua Menteri Melaka, ini adalah inisiatif beliau untuk turun sendiri jumpa rakyat, bukan menantikan rakyat hadir bertemu beliau. Pendekatan ini dilakukan supaya tiada isu rakyat yang dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian.
Turun padang dekati rakyat tanpa halangan

Sepanjang jelajah, Ab Rauf meluangkan masa menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti nelayan di Jeti Sebatu serta penduduk Kampung Seri Mendapat.
Pendekatan santai ini membolehkan rakyat menyuarakan sendiri pandangan, cadangan dan isu yang dihadapi tanpa perlu melalui proses yang rumit.
Pada masa sama, ia memberi peluang kepada kerajaan negeri mendapatkan maklum balas secara terus bagi memastikan tindakan susulan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan.
Bantuan terus kepada komuniti yang memerlukan
Selain mendengar suara rakyat, program ini turut disertai dengan penyampaian pelbagai bentuk bantuan kepada komuniti setempat.
Antara penerima manfaat termasuk:
- Usahawan tempatan
- Nelayan
- Petani dan pekebun
- Komuniti India
- Pelajar yang menerima bantuan persekolahan
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha meringankan beban rakyat selain memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Tiga berita baik buat pekebun kecil & industri komoditi

Menerusi Festival Hari Komoditi yang berlangsung sempena program tersebut, Ketua Menteri turut mengumumkan tiga inisiatif penting.
1. Stesen Penyelidikan Strategik MPOB bakal dibangunkan di Melaka
Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan tanah seluas 100 ekar kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi pembangunan Stesen Penyelidikan Strategik di bawah RMK-13.
Projek bernilai sekitar RM20 juta hingga RM25 juta itu dijangka merangkumi ladang model, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), makmal moden, pusat latihan, penempatan pegawai TUNAS serta pelbagai kemudahan sokongan lain.
2. Jalan ladang baharu untuk lebih 200 pekebun kecil
Kementerian Perladangan dan Komoditi turut meluluskan peruntukan RM400,000 bagi pembinaan Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian sepanjang 5 kilometer di Ladang Lembah Kesang, Mukim Semujuk.
Kemudahan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 200 pekebun kecil di kawasan tersebut.
3. Skim tanam semula sawit untuk hasil lebih baik
MPOB juga menyediakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 bagi membantu pekebun kecil menggantikan pokok sawit yang sudah tua dengan benih baharu yang lebih berkualiti serta berpotensi menghasilkan produktiviti lebih tinggi.
Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat: Pastikan tiada aduan terbiar
Pendekatan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Melaka untuk bukan sahaja mendengar suara rakyat, malah memastikan setiap isu diberikan perhatian sehingga selesai.
Melalui kesinambungan program ini bersama WRUR, kerajaan negeri berharap hubungan antara rakyat dan pentadbiran akan terus diperkukuhkan, sekali gus memastikan kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat serta pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri Melaka menerusi saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai program, bantuan dan pembangunan yang dilaksanakan untuk manfaat rakyat.








