Hampir lima dekad berada di dalam industri seni, kumpulan rock legenda Search bakal mengadakan sebuah Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur pada 21 September depan di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan: Isu Royalti Album Rockology Search: Kid’Din Collection, Amy Search Tak Halalkan Bayaran Diterima Noordin & Kidd – ‘Kawan Sendiri Rompak’
Artikel Berkaitan: Search Tak Mahu Ulas Isu Kontroversi, Hanya Nak Cerita Soal Konsert
Sesuatu yang berbeza
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, vokalis kumpulan tersebut iaitu Datuk Amy berkata, konsert ini membawa kelainan berbanding konsert yang dilakukan oleh mereka sebelum ini.
Kami menjangkakan sesuatu yang berbeza kali ini kerana konsep yang akan kami tampilkan adalah orkestra. Jadi, akan ada beberapa lagu yang belum pernah kami mainkan, bakal dipersembahkan.
Tambah Amy, konsert ini juga merupakan pelayaran baharu buat mereka selepas melalui pelbagai onak dan duri sepanjang perjalanan karier muzik bermula.
Ini satu pelayaran baharu yang belum pernah kami lakukan. Boleh dikatakan ini sebagai satu perkara yang kami sendiri ‘berani’ untuk bawakan. Saya berdoa supaya ini menjadi satu ‘statement’ (kenyataan) baharu buat kita semua.
Kami nak berikan yang terbaik supaya peminat dapat melayari pelayaran baharu bersama kami sepanjang durasi dua jam konsert ini berlangsung.
Disoal mengenai pemilihan lagu dan jumlah lagu yang akan dinyanyikan untuk konsert nanti, Amy secara ringkas menjawab mereka akan memilih yang terbaik buat peminat kali ini.
Kalau dari sudut pemilihan lagu, sebenarnya agak sukar untuk membuat keputusan kerana tidak semua peminat ada senarai lagu yang sama untuk didengar. Tapi, kami pilih yang terbaik untuk konsert kali ini dan kami ingin jadikannya sesuatu yang diingati.
Konsert ini akan turut dirakamkan. Mungkin, kami akan keluarkan dalam bentuk vinil dahulu. Yang pasti akan ada rakaman audio dan visual juga.
Ditanya pula mengenai cabaran untuk mengadakan konsert ini, pemain bass Search iaitu Nasir Daud berkata, semestinya setiap daripada mereka mempunyai cabaran yang tersendiri.
Apabila Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) tawarkan untuk adakan konsert ini, kami fikir ini mungkin satu lagi konsert seperti mana kebiasaan. Namun, apabila diberitahu bahawa konsepnya adalah orkestra dan berskala besar, kami ambil masa beberapa hari untuk fikirkan.
Ini cabaran baharu dan bukan sekadar ‘plug and play’. Ini satu disiplin yang tegar (rigid) membabitkan orang profesional yang ramai bersama kami.
Apa pun, yang boleh saya gambarkan persembahan kali ini adalah gabungan rock dan klasik. Namun, tetap akan mengekalkan ‘repertoire’ Search itu sendiri.
Sememangnya ini adalah satu persembahan yang belum pernah diadakan oleh kami sebelum ini. Mohon jangan dibandingkan dengan konsert ‘unplugged’ kami sebelum ini yang menggunakan beberapa pemuzik orkestra kerana ini skalanya lebih besar.
Saya dimaklumkan, jumlah keseluruhan pemuzik orkestra adalah kira-kira 30 orang. Jadi, ini adalah satu kumpulan orkestra yang lengkap dan proses persembahannya juga bukan sesuatu yang mudah.
Ada cabaran dan debaran buat kami untuk lunaskan tanggungjawab besar ini.
Di akhir temu bual, kumpulan Search berharap penonton yang hadir nanti akan terhibur dan teruja melihat kualiti persembahan mereka.
Search yang turut dianggotai Man Kidal serta Hillary Ang ditemui pada sidang media Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur di Royale Chulan, Damansara pada Khamis lalu.