Usaha melahirkan lebih ramai pencipta kandungan yang mampu menjana pendapatan secara konsisten serta memiliki hala tuju kerjaya yang lebih kukuh terus menjadi agenda utama Ketua Pegawai Eksekutif Asia, Dato’ Abd Rahman Soltan.

Artikel Berkaitan: Konsert Malam Qolbu Dekatkan Generasi Muda Dengan Rasulullah SAW Sempena Maulidur Rasul

Artikel Berkaitan: ‘Content Creator’ Wanita Jadi Mangsa R*gol Dua Lelaki Menyamar Tukang Paip

Peluang bina nama & kerjaya

Menurut Abd Rahman Soltan, kemajuan pesat dunia digital ketika ini menyediakan pelbagai peluang kepada golongan muda untuk membina nama dan kerjaya.

Namun, peluang tersebut perlu disokong dengan panduan yang tepat agar pengaruh yang dimiliki dapat diterjemahkan kepada kejayaan yang berpanjangan.

Tahun ini antara fokus utama kami adalah untuk membentuk lebih ramai influencer dan content creator yang bukan sekadar mengejar populariti, tetapi mampu menjadikan platform mereka sebagai sumber pendapatan dan masa depan yang lebih baik.

Melalui program IPP, kita mahu membantu generasi muda memahami bagaimana mereka boleh menggunakan pengaruh yang ada untuk menambah pendapatan dan membina kehidupan yang lebih stabil.

Usaha itu juga bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada anak muda untuk berkembang dalam pelbagai cabang termasuk hiburan, perniagaan dan industri kreatif.

Abd Rahman Soltan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang turut menghimpunkan hampir 100 pempengaruh baru-baru ini.

Menyentuh mengenai konsep sambutan yang mengambil inspirasi daripada ikon muzik antarabangsa, Michael Jackson, Abd Rahman menjelaskan tema tersebut dipilih kerana pengaruh dan legasi figura berkenaan yang masih kekal relevan sehingga kini.

Michael Jackson bagi saya ialah simbol legasi dan juga satu figura yang masih meninggalkan tanda tanya besar kepada dunia.

Walaupun dia sudah lama tiada, generasi muda masih mengenali lagu dan karyanya.

Itu menunjukkan bahawa hasil kerja yang memberi impak akan terus hidup merentas generasi.

Minat golongan muda terhadap figura legenda juga membuka ruang kepada pembangunan kandungan dan projek kreatif yang lebih dekat dengan citarasa generasi masa kini.

Ubah hidup jadi lebih baik

Selain persembahan nyanyian daripada Agy, acara tersebut turut dimeriahkan oleh trio pempengaruh Imranul Effendy, Izlann Iskandar dan Boi Baek, selain penampilan beberapa pempengaruh lain termasuk Puteri Sari, Reyzal Yazmi dan Puspagomen.

Katanya lagi, platform yang diwujudkan bukan hanya memberi tumpuan kepada pencipta kandungan, sebaliknya turut membuka peluang kepada golongan muda dalam bidang seni, lakonan dan keusahawanan untuk mengembangkan potensi mereka.

Kebanyakan anak muda hari ini bermula dengan media sosial untuk membina nama, tetapi akhirnya mereka boleh berkembang kepada pelbagai bidang lain.

Populariti yang diperoleh boleh dijadikan asas untuk membina perniagaan sendiri, menghasilkan jenama produk, melakukan ulasan secara profesional atau membuka peluang pekerjaan yang lebih baik.

Dalam pada itu, kejayaan beberapa individu yang pernah menerima bimbingan termasuk Imranul Effendy dan Harissa Adlynn menjadi bukti bahawa platform digital mampu mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik.

Kalau ditanya sama ada saya bangga, itu memang sebahagian daripada misi dan visi yang kami bawa sejak awal.

Kita sudah melihat sendiri bagaimana ada yang bermula sebagai content creator dan akhirnya berjaya melangkah ke bidang lebih besar termasuk lakonan dan filem.

Dalam masa sama, pihaknya kini sedang merancang penerbitan beberapa projek baharu berbentuk mini siri dan filem yang akan menampilkan bakat-bakat pempengaruh tempatan.

Kami mahu menghasilkan lebih banyak projek yang membuka ruang kepada influencer untuk berkembang sebagai pelakon dan bakat kreatif.

Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat muda yang bukan sekadar dikenali di media sosial tetapi mampu mencipta kerjaya yang lebih besar dalam industri.