Budaya piercing (menindik) kini menjadi trend yang semakin diikuti golongan muda yang menetap di ibu kota. Bahkan, terdapat kedai yang menyediakan perkhidmatan menindik ini secara percuma jika pelanggannya membeli aksesori dari kedai berkenaan. Di samping itu, terdapat beberapa bahagian yang boleh ditindik antaranya hidung, lidah, dan pipi.
Namun, di sebalik trend yang semakin meningkat naik ini, terdapat individu-individu yang tidak bertanggungjawab dengan menyediakan perkhidmatan menindik ini di dalam kereta. Difahamkan, mereka menggunakan platfom media sosial bagi mempromosikan perkhidmatan yang disediakan.
Servis dalam kereta
Menerusi beberapa klip video yang tular di media sosial, menunjukkan prosedur menindik itu hanya dilakukan di dalam kereta sahaja bukannya di dalam premis perniagaan. Pada masa yang sama, netizen turut risau dan mendakwa perkhidmatan tersebut dijalankan tanpa mendapat mana-mana kebenaran daripada pihak penguat kuasa.
Hal ini disebabkan, proses tersebut hanyalah dilakukan secara berdua di dalam ruang kereta yang sempit. Tidak berakhir di situ, netizen turut risau jika peralatan yang digunakan untuk menindik itu tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan tahap kebersihan peralatan itu sendiri. Perkara tersebut secara tidak langsung akan memberikan kesan jangka masa panjang buat individu tersebut.
Respon netizen
Jika dilihat menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut ‘risau’ dengan perkhidmatan yang disediakan di dalam kereta itu. Pada masa yang sama, mereka turut mempersoalkan tahap kebersihan peralatan yang digunakan ketika proses menindik itu dilakukan.
Sumber: Media Sosial