berita

Bumbung Kereta Remuk Dilanggar Pencangkuk Kren, Pemandu Tersepit Berjaya Diselamatkan

September 21st, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Viral di media sosial apabila sebuah kereta jenis Proton Saga, remuk di bahagian bumbung selepas dipercayai dihempap besi di Taman Len Seng, Cheras.

Menerusi laporan Harian Metro, kejadian tersebut berpunca daripada pencangkuk kren yang melanggarnya.

Pemandu tersepit

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8.30 malam. Tambah beliau, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun itu telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kren.

Siasatan mendapati, ketika pemandu kereta belok ke kiri untuk masuk ke Jalan Len Seng dari Cheras, keretanya dilanggar dari belakang oleh kren terbabit. Bahagian depan pencangkuk kren itu kemudiannya melanggar bumbung kereta hingga menyebabkan pemandu tersepit di dalam kereta.

Ujar beliau lagi, pemandu kereta tersebut terpaksa dikeluarkan dengan pertolongan anggota bomba. Namun, tiada sebarang kecederaan telah dilaporkan

Tiada serpihan objek

Mengulas lebih lanjut, Zulkefly memberitahu tiada sebarang serpihan objek ditemui di dalam kereta pemandu tersebut. Di samping itu, Zulkefly turut memberitahu pemandu kren berkenaan tidak berhenti di lokasi kejadian dan hingga kini tidak membuat sebarang laporan mengenainya. Kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 3(2)B Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×