berita

Bunuh Ahli Keluarga Lepas Dengar Bisikan Roh, Ini Kisah Rumah Berhantu ‘Amityville’ Yang Pernah Gemparkan Dunia

October 1st, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Bila sebut sahaja pasal ‘Amityville’ sudah pasti fikiran korang akan teringat aktiviti paranormal yang berlaku di rumah tersebut. Bahkan, rumah yang terletak di New York, Amerika Syarikat ini, merupakan satu daripada 10 buah rumah yang paling seram di dunia.

Pelbagai kes pembunuhan dan kejadian mistik telah berlaku di rumah tersebut. Sehinggakan, ramai penerbit filem menjadikan rumah itu sebagai ilham untuk menghasilkan filem ‘horror’. Antara kes pembunuhan paling kejam yang pernah berlaku di rumah tersebut ialah kes pembunuhan seluruh ahli keluarga DeFeo.

Semuanya bermula pada tahun 1974

Ahli keluarga Defeo

Pada 13 November 1974, Ronald DeFeo Jr, telah membunuh kesemua enam anggota keluarganya dengan senapang. Kesemua mereka dibunuh di atas katil masing-masing sewaktu sedang tidur. Ronald yang merupakan anak sulung dalam keluarga tersebut telah mengaku bersalah kerana membunuh semua ahli keluarganya.

Kes pembunuhan itu dipercayai ada kaitan dengan gangguan makhluk halus yang berada di rumah tersebut. Malah, ada yang berpendapat Ronald telah dirasuk untuk melakukan pembunuhan kejam itu. Di samping itu, terdapat juga kisah yang menyatakan tanah rumah itu dimiliki oleh seorang pengamal ilmu hitam, John Ketchum, sekitar tahun 1920an. Ketchum dikatakan disemadikan di tapak rumah itu, dan sehingga kini jasadnya dipercayai berada di situ.

Menurut sumber The History Reader, keluarga DeFeo merupakan golongan sederhana. Mereka tidak kaya dan tidak susah. Ayah Ronald merupakan seorang yang dominan dan kasar. Manakala, ibunya pula merupakan seorang wanita yang lemah dan sering ditindas oleh suaminya. Oleh itu, Ronald dipercayai terlibat dalam kancah dadah dan sering minum alkohol bagi melupakan masalah yang berlaku di rumah. Dia juga pernah melakukan serangan terhadap ayahnya menggunakan pistol sewaktu melihat ibu dan ayahnya bergaduh.

Berpura-pura tidak tahu

Ronald DeFeo Jr

Secara umumnya, kehidupan Ronald tidak seperti remaja lain yang bahagia bersama keluarga. Disebabkan itu, dia bertindak membunuh semua ahli keluarganya. Selepas melakukan pembunuhan tersebut, Ronald berpura-pura tidak tahu dan berlakon panik sewaktu melihat semua mayat ahli keluarganya. Bahkan, dia turut meminta bantuan orang awam. Pihak polis turut datang ke kediamannya bagi melakukan siasatan. Ronald memberitahu bahawa dia sedang bekerja sewaktu kejadian tersebut berlaku.

Pihak polis turut mengesyaki sesuatu apabila melihat kesemua mayat. Menurut pihak polis, cara kematian mereka semua sangat pelik kerana tiada kesan pergelutan langsung. Ianya seolah-olah si mati mengenali si pembunuh. Takut mengenai rahsianya terbongkar, Ronald memberitahu ada seorang pembunuh upahan telah memaksanya untuk melihat sendiri kejadian ngeri itu. Selepas didesak oleh pihak polis, Ronald akhirnya mengaku dialah pembunuh itu.

Sepanjang tempoh perbicaraan di mahkamah, Ronald dipercayai menukar cerita mengenai pembunuhan keluarganya beberapa kali. Menurutnya, adik perempuanya telah membunuh ayah mereka. Oleh sebab terlalu kecewa, ibunya pula membunuh kesemua mereka. Jadi, Ronald mengambil tindakan untuk membunuh ibunya. Terdapat satu lagi versi cerita di mana adik perempuannya membunuh kesemua ahli keluarga mereka. Kerana tertekan melihat situasi tersebut, dia telah membunuh adik perempuannya itu.

Bertukar menjadi kisah seram

Selepas tragedi pembunuhan tersebut, rumah ‘Amityville’ telah dikosongkan. George dan Kathy Lutz, merupakan penghuni seterusnya yang menginap di kediaman itu selepas 28 hari tempoh kejadian. Sejak itu, pelbagai kisah gangguan makluk halus menghantui rumah tersebut. Mereka mendakwa salah seorang daripada anak mereka telah dirasuk oleh hantu yang sama seperti filem ‘ The Exorcist‘. Mereka juga sering ternampak lembaga hitam di kediaman tersebut.

Kisah George dan Kathy Lutz, dianggap tipu kerana mereka ingin meraih keuntungan apabila menjual kisah seram tersebut. Oleh itu, pasangan tersebut diminta menjalani ujian pengesan pembohongan mengenai kisah mereka. Hasil ujian tersebut, pasangan ini tidak menipu dan semua yang dilalui oleh mereka adalah benar.

Apa yang terjadi sekarang?

Sejak tragedi pembunuhan keluarga DeFeo, sejumlah lima keluarga telah menghuni rumah tersebut. Salah seorang daripada penghuni rumah berkenaan telah menukar alamat daripada 112 Ocean Avenue ke 108 Ocean Avenue kerana risau diganggu makhluk halus. Harga rumah tersebut dijual dengan harga semakin murah selepas seorang demi seorang penghuni meninggalkan kediaman itu.

Buat pengetahuan korang, pengalaman paranormal George dan Kathy Lutz dijadikan buku ‘The Amityville Horror’ pada tahun 1977. Manakala, filem mengenai kisah tersebut telah diterbitkan pada 1979. Pengarah tersebut juga telah membuat pembikinan semula pada tahun 2005. Sehingga kini, 18 filem mengenai rumah tersebut telah dihasilkan.

Sumber: The History Reader, Long Island Hub & KennyThaKilla

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×