Seorang lelaki berusia 25 tahun telah ditahan oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan abang tirinya di Kepala Batas. Suspek dikatakan telah membunuh magsa dan memasukkan mayat tersebut ke dalam satu tong sebelum disimen.
Terbaru, adik suspek yang dikenali dengan nama Mohd Nazir Azami memberitahu dia sangat terkejut sebaik sahaja dimaklumkan oleh ibunya mengenai kejadian ini.
‘Abang kuat agama’
Menerusi laporan Astro Awani, Mohd Nazir menceritakan bahawa ketika kejadian hanya suspek dan mangsa sahaja yang berada di rumah tersebut kerana ibu mereka bersama seorang lagi adik berada di Melaka kerana ada urusan lain.
Menceritakan kisah itu, Mohd Nazir memberitahu bahawa kedua-dua mereka dikatakan sering bertengkar antara satu sama lain dan kebiasaannya mangsa yang akan memulakan pertengkaran itu dahulu. Menurut sumber, mangsa sebelum ini dikatakan pernah menjalani pemulihan akibat dadah.
Mohd Nazir memberitahu dia amat terkejut dan langsung tidak menyangka perkara seperti ini akan terjadi memandangkan suspek yang juga abang kandungnya itu merupakan seorang individu yang sangat baik dan kuat agama.
Saya terkejut dan tak sangka abang (suspek) jadi pembunuh kerana dia seorang yang baik dan kuat agama.
Mungkin nak pertahankan diri
Sementara itu, Mohd Nazir berkata kejadian tersebut berkemungkinan berlaku ketika suspek cuba mempertahankan dirinya dengan menepis parang yang dilibas mangsa sebelum dia tanpa sengaja menetak bahagian leher mangsa.
Abang (suspek) lakukan itu mungkin dia nak pertahankan dirinya menyebabkan dia tak sengaja menetak abang tiri (mangsa).
Si mangsa bawa keluar parang, lepas tu suspek cuba mempertahankan diri dengan penyapu tepi dinding rumah. Mangsa pun tetak suspek dengan parang…masa pergelutan itulah terkena tengkuk (mangsa).
Tambahnya lagi, mereka sekeluarga kini menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.
Sumber: Astro Awani