Berita baik buat peminat penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan apabila penyanyi ini bakal hadir dengan konsert solonya yang berjudul ‘Divine Concert – Cakra Khan’ bertempat di Singapura dan Malaysia pada Julai dan Ogos ini.
Artikel Berkaitan: ‘Here I Am’ Bakal Jadi Konsert Termega Rossa Di Malaysia, Undang Penyanyi Jemputan Yang Bikin Penonton ‘Histeria’
Bakal ‘pukau’ penonton Malaysia & Singapura
Memilih judul daripada album keduanya iaitu Divine, Cakra Khan bakal menggamatkan suasana di Kota Singa terlebih dahulu dengan mengadakan konsert tersebut The Star Theatre pada 18 Julai 2025.
Setelah itu, pelantun lagu ‘Kekasih Bayangan’ itu bakal membuat kemunculan pula di Plenary Hall Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2025 khas buat peminatnya di Malaysia.
Menurut penganjur konsert iaitu Shiraz Projects, Divine Concert – Cakra Khan ini diadakan pada waktu yang tepat meski bukan pertama kali peminat menonton persembahan penyanyi ini.
Divine Concert – Cakra Khan akan menjadi sebuah konsert yang luar biasa dan magis seperti perjalanan panjang penyanyi ini.
Mengapa kami katakan demikian kerana selepas 11 tahun, Cakra Khan akhirnya muncul dengan album kedua iaitu Divine. Dan signifikan dengan kelahiran album tersebut pada tahun lalu, kami mahu menggunakan konotasi Divine yang membawa maksud lebih kurang ‘luar biasa’, ‘hebat’ dan ‘mega’ ini divisual dalam konsep konsert.
Divine Cakra Khan juga akan menjadi medan buat peminat kembali menikmati vokal unik beliau yang bukan hanya melantunkan lagu-lagu dari album terkini tetapi membawa pulang peminat kembali ke masa silam bersama tembang yang masih bersifat malar segar dari satu-satunya, Cakra Khan.
Dapat permintaan yang tinggi
Mengulas lebih lanjut, Shirazdeen Karim selaku Pengarah Urusan Shiraz Projects memaklumkan permintaan yang tinggi dari peminat dua negara menjadi faktor utama mengapa konsert ini diadakan.
Oleh kerana permintaan peminat yang tinggi untuk melihat Cakra Khan beraksi secara solo dalam konsertnya maka kami bersetuju untuk mengadakan ia di dua negara dengan lokasi yang sememangnya mengujakan.
Buat peminat di Singapura sendiri boleh sertai Divine Concert – Cakra Khan di Kota Singa di The Star Theatre pada 18 Julai 2025. Cakra Khan kemudian akan bertemu peminat di Malaysia pada 2 Ogos 2025 di Plenary Hall Kuala Lumpur.
Jadi peminat, pilihan di tangan anda. Mahu hadir ke Malaysia atau Singapura atau di kedua-dua negara juga sangat dialu-alukan.
Sementara itu, Cakra Khan yang teruja dengan penganjuran konsert ini menjanjikan persembahan yang bertenaga sebagai tanda apresiasi buat para peminatnya.
Apa yang pasti kalian akan menikmati Divine Concert – Cakra Khan seperti mana saya selalu menikmati apresiasi anda semua terhadap saya.
Buat peminat di Singapura, pembelian tiket boleh dilakukan menerusi www.sistic.com.sg sementara untuk penggemar Cakra Khan di Malaysia boleh buat pembelia tiket tiket di www.myticket.asia.
Harga tiket bermula dari RM225 (Bronze), RM255 (Silver), RM455 (Gold), RM695 (Platinum), RM795 (Diamond), dan RM1,295 (Meet & Greet) dan akan dijual pada 12 Februari 2025 bermula pukul 10 pagi.
Jadi tunggu apa lagi kerana lagu-lagu seperti Kepada Hati, Salah Tapi Baik, Mencari Cinta Sejati dan Kekasih Bayangan sedang menanti anda untuk diperdengarkan secara langsung.