Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) meninggal dunia selepas ditemui tergantung dengan tali kasut di atas katil dua tingkat di rumahnya.
Menerusi Utusan Online, mangsa dikatakan tinggal bersama ibunya dan dua lagi adik beradik yang lain masing-masing berusia 8 dan 14 tahun.
Mangsa tergantung berhampiran katil
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, ketika kejadian, mangsa sedang bermain bersama adik perempuan dan abangnya manakala ibu mangsa berada di ruang tamu.
Kira-kira 15 minit kemudian, adik mangsa memberitahu ibu mereka bahawa mangsa sudah tergantung berhampiran dengan katil.
Adik perempuan yang berusia 8 tahun itu terkejut dengan keadaan mangsa yang tergantung dan tidak bergerak sebelum bertindak memaklumkan tentang perkara tersebut kepada ibunya.
Adik mangsa lalu memaklumkan kepada ibunya. Ketika ibunya masuk ke dalam bilik, tali yang menjerut mangsa telah dipotong oleh anak sulungnya.
Disyaki gantung diri pada besi katil
Tambahnya lagi, pegawai perubatan Hospital Daerah Kulim mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Pihak polis menjumpai tali kasut berwarna putih di lantai katil atas manakala mangsa pada ketika itu berada di katil bawah.
Mangsa disyaki telah menggantungkan diri pada bahagian besi katil tingkat atas dengan menggunakan tali kasut.
Bagaimanapun, tiada unsur jenayah dikesan pada badan mangsa dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Utusan Online, Berita Harian