Pelantun suara ‘Hakikat Cinta’ iaitu Dayang Nurfaizah berharap Sissy Imann dapat mencari sisi yang baik daripada teguran yang diterima olehnya semasa program Famili Duo, minggu lalu.
Cari sisi positif
Ditemui pada Majlis Pra-Dengar Belagu II di Liberal Latte, Bukit Damansara, semalam, Dayang berkata Sissy perlu mengambil teguran tersebut sebagai asam garam seorang penyanyi.
Sejujurnya saya belum tengok persembahan Sissy dan Naim pada malam tersebut. Cuma video yang viral itu saya dah tengok. Saya faham kedua-dua pihak. Cuma, saya berharap Sissy ambil ini sebagai asam garam seorang penyanyi. Anggap teguran yang diterima sebagai nasihat.
Cari sisi yang positif yang boleh menguatkan emosi dan jiwa. Saya memahami situasi itu. Bila kita dalam sebuah pertandingan, kita akan jadi ‘rapuh’. Soal teguran itu yang nyata. Yang sebaliknya banyak juga. Kena cuba cari walaupun hanya satu peratus sisi yang baik daripada apa yang ditegur. InsyaAllah benda ni akan bagi dia jadi kuat.
Tambah Dayang, berada di kerusi juri adalah tanggungjawab yang berat terutama pada zaman sekarang kerana bukan berhadapan dengan peserta sahaja tetapi reaksi netizen juga.
Sekiranya diberi pilihan, saya tak berani galas tanggungjawab itu. Sekali dua bolehlah, tapi ia tanggungjawab yang besar. Tawaran jadi juri memang ada dan yang pernah saya buat adalah Big Stage. Cuma pendekatannya berbeza kerana konsep pertandingan disertai penyanyi muda. Jadi, saya hanya beri nasihat kepada mereka.
Ujar Dayang, soal terasa hati mungkin akan timbul kerana peserta yang bertanding biasanya akan ‘rapuh’. Ini kerana, mereka sudah bekerja keras untuk beri persembahan yang baik setiap minggu dengan pelbagai persediaan.
Apapun dalam setiap kritikan juri itu pastinya ada positif dan sebaliknya. Cuma, kita kena tenangkan diri untuk fikirkannya dan ambil yang positif sahaja. Percayalah, di sebalik negatif itu pasti ada yang positif kerana teguran itu tanda sayang.
Belagu II
Berbicara mengenai Belagu II, Dayang memberitahu projek kali ini mempunyai sembilan trak lagu menerusi sentuhan Aubrey Suwito.
Atas penerimaan Belagu yang sangat baik, ia kini diterjemahkan menerusi Belagu II yang lebih istimewa kerana berkolaborasi dengan orkestra terkenal dunia iaitu Budapest Scoring Orchestra. Ia sekaligus membuatkan lagu-lagu klasik yang dihasilkan terdengar dengan bunyian yang lebih mewah.
Jelas Dayang, album versi digitalnya sudah berada di semua platform digital bermula hari ini dan salinan cakera padat bersama set eksklusif Belagu II boleh dimiliki secara pra-tempahan bermula dari 13 Januari yang lalu.