berita

Catat Sejarah, Tengku Maimun Wanita Pertama Dilantik Ketua Hakim Negara Malaysia

May 2nd, 2019 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Umum mengetahui bahawa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) telah menghantar tiga nama kepada Majlis Raja-Raja untuk dipertimbangkan bagi menggantikan ketua hakim negara, Richard Malanjum. Antara nama yang dihantar ialah Tengku Maimun, Azhar Mohamed dan Idrus Harun. Ketiga-tiga individu tersebut merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Menerusi laporan Berita Harian, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan perundingan bersama Majlis Raja-Raja, telah melantik Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.

Kenyataan akhbar

 

Menurut kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri, pelantikan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara berikutan tamat tempoh perkhidmatan, Tan Sri Richard Malanjum pada 12 April lalu.

Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia setelah mendapat perkenan baginda.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Tan Sri Richard Malanjum di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

Wanita pertama

Tengku Maimun pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Tinggi, Shah Alam, Selangor, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan. Kini, beliau merupakan wanita pertama yang dilantik menjadi Ketua Hakim Negara di Malaysia. Pelantikan tersebut berkuatkuasa hari ini.

Sumber: Berita Harian & Malaysia Kini

SKIP THIS AD ×