Seorang lelaki warga Singapura mengaku bersalah mencekik anak kembarnya sehingga maut dalam satu kejadian di taman permainan di Greenridge Crescent pada 21 Januari 2022.
Anak kembar autisme
Pada awalnya, lelaki berusia 50 tahun itu didakawa atas dua pertuduhan membunuh dua anak lelakinya, Aston Yap Kai Shern dan Ethan Yap E Chern yang masing-masing berusia 11 tahun namun hukumannya dikurangkan kerana tertuduh mengalami gangguan mental.
Disebabkan masalah tersebut, tertuduh terlepas daripada hukuman mati dan kini berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Menurut sumber, kedua-dua mangsa yang tinggal bersama tertuduh dan isterinya menghidap gangguan spektrum autisme (ASD) sejak berusia dua tahun. Ketika menginjak usia tujuh tahun, mereka secara rasmi disahkan menghidap ASD dan Kelewatan Pembangunan Global (GDD).
Bunuh kembar dalam longkang taman permainan
Pasangan kembar itu kemudian didaftarkan ke sekolah rendah ketika berusia sembilan tahun. Tertuduh merupakan individu yang bertanggungjawab untuk menguruskan anak-anak malah dia juga tidak pernah menggunakan kekerasan fizikal terhadap dua anak lelakinya itu.
Sehinggalah pada tahun 2019, tertuduh melihat isterinya berada dalam keadaan tertekan memikirkan nasib si kembar memandangkan mereka perlu dinilai sekiranya mahu meneruskan pembelajaran di sekolah terbabit. Bukan itu sahaja, tertuduh turut mengenangkan nasib anak-anaknya sekiranya dia dan isteri meninggal dunia satu hari nanti.
Disebabkan itu, tertuduh nekad mahu menamatkan riwayat si kembar dan membunuh diri sendiri. Pada 21 Januari 2022, tertuduh membawa si kembar ke taman permainan berhampiran rumahnya. Dia membiarkan anak-anaknya itu bermain dan 10 minit kemudian, dia membawa salah seorang daripada anaknya ke longkang besar sebelum bertindak menekan leher mangsa menggunakan sebatang kayu. Tetapi cubaan membunuh tersebut gagal.
Tanpa berfikir panjang, dia mencekik leher mangsa dan melemaskan muka mangsa ke dalam air longkang. Cara yang sama dilakukan terhadap seorang lagi anaknya. Selepas itu, tertuduh nekad mahu membunuh diri dengan cara pelbagai cara tetapi gagal. Disebabkan itu, tertuduh membuat panggilan kecemasan kononnya anak kembarnya itu telah diserang.
Dapat tahu isteri ‘check in’ dengan lelaki lain
Pada keesokan harinya, tertuduh ditahan polis selepas mengaku telah membunuh si kembar. Semasa perbicaraan, tertuduh mendakwa pada hari kejadian, dia mendapati isterinya berlaku curang dan mendaftar masuk ke sebuah hotel bersama kekasih gelapnya.
Tertuduh turut memaklumkan bahawa isterinya itu langsung tidak sedih dengan kematian si kembar sebaliknya dia dilihat lebih gembira dan mula membuang barang-barang milik mangsa.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 hingga 20 tahun terhadap tertuduh namun peguam yang mewakili tertuduh merasakan hukuman tersebut agak keterlaluan dan merayu agar dikurangkan memandangkan tertuduh mengalami masalah gangguan mental.
Sumber: Mothership