berita

Cikgu Baran ‘Tomoi’ Pelajar Sekolah Digantung Tugas, Menyesal & Sedia Mohon Maaf

February 12th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Baru-baru ini, viral di media sosial mengenai satu video yang memaparkan seorang pelajar telah dibelasah oleh seorang guru di sebuah sekolah yang terletak di Alor Setar, Kedah. Kejadian yang dipercayai berlaku disebabkan masalah dalaman yang ditimbulkan pelajar berkenaan, membuatkan guru tersebut berang dan hilang kawalan.

Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, guru lelaki tersebut menyesali perbuatan yang dilakukannya terhadap pelajar berusia 16 tahun itu.

Menyesal dan memohon maaf

Menurut Exco Pendidikan Kedah, Dr Salmee Said, pihaknya bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah telah mengadakan satu perjumpaan berhubung kes tersebut. Hasil perjumpaan yang dilakukan, guru itu menyesal melakukan tindakan kasar terhadap pelajar berkenaan dan sedia memohon maaf kepada ibu bapa pelajar itu.

Walaupun kes itu masih dalam siasatan polis namun pihak sekolah bersedia menemukan guru dan ibu bapa pelajar itu dengan bantuan Yang Dipertua PIBG. Kita akan cuba mempertemukan kedua-dua belah pihak untuk berbaik dan kemungkinan laporan polis ditarik balik.

Digantung tugas sementara

Tambah Dr Salmee, kes tersebut tidak akan berpanjangan demi menjaga nama baik kedua-dua belah pihak. Manakala, guru yang merupakan warden asrama sekolah itu juga akan digantung tugas buat sementara waktu kerana masih di dalam siasatan pihak polis. Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan akan dibuka oleh pihak polis kerana kes tersebut mendatangkan kecederaan tanpa menggunakan senjata.

Kejadian itu sudah seminggu berlaku dan pelajar itu masih meneruskan persekolahan seperti biasa. Cuma apabila video itu sampai ke tangan ibu bapa pelajar terbabit, mereka membuat laporan polis sebelum video itu tular.

Terdahulu, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 malam itu turut disaksikan oleh beberapa orang pelajar lain yang berada di dewan sekolah berkenaan. Malah, video berkenaan juga dipercayai dirakam oleh salah seorang pelajar sebelum ianya viral di media sosial.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×