Debaran Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) kian terasa apabila anugerah paling berprestij yang mengiktiraf lagu terbaik tanah air itu bakal bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) 6 Mac ini.
Sempena #RoadToAJL36, jom kita imbas kembali enam penyanyi ganti yang berjaya membuat kejutan meraih kemenangan semasa bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu sebelum ini. Bukan penyanyi asal pun ‘perform’ tau!
Sahri AF ganti Kaer AF (Izinku Pergi)
Tidak dapat memberi komitmen terhadap pertandingan Anugerah Juara Lagu Ke-22 atas urusan tertentu, penyanyi, Kaer Azami telah memilih sahabat baiknya, Sahri sebagai pengganti untuk membawakan lagu ‘Izinku Pergi’ ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik ditulis oleh Sulu Sarawak.
Siapa sangka, kelunakan suara dan kelantangan vokal Sahri semasa pertandingan tersebut berjaya menambat hati barisan juri yang diketuai oleh Azhar Borhan. Lagu ‘Izinku Pergi’ telah dinobatkan sebagai Juara Kategori Balada pada tahun berkenaan dan berjaya menewaskan lagu Harapan, Mahakarya Cinta, Kasih Tercipta dan Ceritera Cinta.
RJ ganti Malique Ibrahim (Teman Pengganti)
Kehilangan bekas anggota Too Phat, Malique secara misteri menjadi perbualan ramai sejak kumpulan terbabit berpecah pada tahun 2005. Sejak dari itu, kelibat penyanyi ini perlahan-lahan hilang dari industri hiburan. Walaupun muncul dengan lagu-lagu baru, namun Malique tidak pernah membuat kemunculan sama ada di majlis hiburan atau bersama media.
Pada Anugerah Juara Lagu Ke-27, Malique yang sepatutnya bergandingan bersama Black Hanifah menerusi lagu ‘Teman Pengganti’ telah memilih Helmy Hamdan atau terkenal dengan panggilan ‘Rakyat Jelata’ (RJ) sebagai penyanyi ganti untuk menyanyikan lagu tersebut. Meskipun ramai yang kecewa kerana tidak dapat melihat gandingan Malique dengan Black, peminat lagu ‘Teman Pengganti’ tetap meluahkan rasa syukur kerana lagu tersebut telah berjaya memenangi Anugerah Persembahan Terbaik semasa AJL27.
Aizat Amdan ganti Yuna (Terukir Di Bintang)
https://www.youtube.com/watch?v=CZcXQliKFLk
Pada tahun 2012, penyanyi, Yunalis Zarai atau lebih mesra disapa sebagai Yuna memberitahu bahawa dia terpaksa menarik diri daripada beraksi pada kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-27. Menurut Yuna, keputusan muktamad itu terpaksa dibuat pada saat-saat akhir kerana dia terpaksa memberikan komitmen dalam proses rakaman albumnya di Los Angeles, Amerika Syarikat. Berikutan daripada itu juga, Yuna memberitahu bahawa Aizat merupakan penyanyi ganti bagi lagu ‘Terukir Di Bintang’ di pentas AJL27.
Melakukan persembahan secara santai dan bersahaja, persembahan Aizat berjaya menidakkan kekuatan 11 lagu lain tatkala berjaya mengunguli gelaran juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil. Menerusi kemenangan lagu ciptaan dan lirik oleh penyanyi Yuna itu, Aizat selaku penyanyi gantian mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000 berserta trofi.
Kumpulan Caliph Buskers ganti Aweera (Romancinta)
Tindakan ketua kumpulan Mojo iaitu Edry Abdul Halim memilih Azmi Saat untuk menggantikan tempat Aweera dan juga penyanyi dari Indonesia itu memang satu keputusan yang tidak diduga. Namun, pada masa yang sama, pemilihan Azmi Saat merupakan satu tindakan yang cukup berani dan menarik. Malah, ia mampu mencipta sejarah tersendiri di dalam penganjuran AJL selama ini.
Menariknya, Edry tidak membiarkan Azmi Saat berseorangan bersama kumpulan Mojo di atas pentas. Namun, Edry turut memberi peluang kepada anggota Caliph Buskers yang lain untuk turut sama beraksi di atas pentas berprestij tersebut. Kalau korang ingat, seluruh penonton yang berada di Stadium Putra Bukit Jalil pada masa tersebut berdiri setelah kumpulan tersebut selesai melakukan persembahan. Bukan itu sahaja, lagu ‘Romancinta’ telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Persembahan Terbaik pada AJL29.
Azmi Saat ganti Faizal Tahir (Sejati)
Biarpun pernah dua kali beraksi di pentas AJL, Azmi Saat tetap diburu rasa gementar apabila diberi tanggungjawab sekali lagi untuk menggantikan penyanyi, Faizal Tahir sempena AJL 32. Menurut Azmi, dia sangat suka lagu ‘Sejati’ dan pernah mendendangkan lagu tersebut bersama Faizal Tahir. Meskipun gementar, Azmi berjaya memukau kesemua penonton yang menyaksikan anugerah tersebut dan meraih tempat kedua.
AJL 32 menyaksikan lagu ‘Jampi’ nyanyian Hael Husaini dinobatkan sebagai Juara Lagu dan Tergantung Sepi nyanyian Haqiem Rusli memenangi tempat ketiga. Bagi kategori vokal dan persembahan terbaik dimenangi oleh Syamel dan Ernie serta Altimet.
Bob Af ganti Dato Sri Siti Nurhaliza (Anta Permana)
Seperti penyanyi ganti yang lain, Bob Yusof turut mengakui dia berasa tidak tentu arah selama seminggu terakhir sebelum tampil mempersembahkan lagu ‘Anta Permana’ di AJL34. Tambah Bob, Hael Husaini dan pihak Tok Ti yang bersepakat memilih dirinya untuk membawakan lagu tersebut. Sepanjang tempoh latihan, Bob sering mendapat nasihat dan melakukan perbincangan bersama TokTi.
Kalau korang ingat, TokTi siap muncul di akhir persembahan Bob bagi memberi kejutan kepada semua yang menonton anugerah tersebut. Pada malam kemuncak anugerah tersebut, lagu ‘Anta Permana’ telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga sekaligus Bob berjaya membawa pulang RM 20,000 beserta trofi.
AJL36
Debaran Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-36 kian terasa. 12 buah lagu bakal berentap dan merebut gelaran Juara Lagu pada hari Ahad ini. Anugerah berprestij ini akan bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pukul 9.00 malam di TV3. Adakah penyanyi ganti lagu ‘Boneka’ nyanyian asal Ernie Zakri bakal mencetuskan fenomena yang sama seperti enam penyanyi ganti yang dinyatakan? Nantikan!