Sekadar gambar hiasan
Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, semua pihak digesa untuk mengamalkan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan bagi mengelakkan daripada terjangkit daripada virus itu. Bahkan, lebih merisaukan lagi, apabila jutaan nyawa terkorban akibat virus ini. Namun, terdapat pelbagai usaha yang dilakukan oleh banyak pihak bagi membendung wabak ini daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.
Timbul persoalan, sampai bila kita perlu membiasakan dengan norma baharu ini, Adakah kehidupan akan kembali normal selepas vaksin diberikan kepada orang ramai? Pada masa yang sama, ramai yang ‘merindukan’ kehidupan seperti biasa yang bebas ke mana sahaja tanpa perlu memakai pelitup muka dan sebarang sekatan.
Tempoh yang panjang
Foto: The Asean Post
Menerusi laporan yang dipetik daripada Bloomberg, analisis pihaknya mendapati kadar program vaksinasi meramalkan pandemik ini akan berpanjangan dan berlarutan untuk tempoh tujuh tahun lagi sebelum mencapai sasaran imuniti kelompok. Perkara tersebut diperoleh menerusi cara mengukur tahap program vaksinasi yang sedang rancak diagihkan kepada banyak negara.
Pada masa yang sama, tempoh itu juga bergantung kepada tahap keberkesanan vaksin itu sendiri dalam mencegah virus bermutasi yang dikesan di Afrika Selatan, Brazil, dan United Kingdom (UK). Menerusi data yang diterima, lebih 67 negara telah menunjukkan pemberian lebih 4.5 juta suntikan dos vaksin pada setiap hari yang menyaksikan lebih 119 juta dos suntikan telah diberikan setakat ini.
Akan kembali normal
Foto: KhMertimes
Jelas Pakar Penyakit Berjangkit, Anthony Fauci, kehidupan masyarakat akan kembali seperti sedia kala jika program vaksinansi itu telah berjaya diagihkan dan pengagihan itu meliputi sebanyak 70 hingga 85 peratus populasi dunia. Pada Jumaat yang lalu, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menggesa supaya penghasil vaksin meningkatkan kadar pengeluaran vaksin.
Hal ini berikutan, jumlah individu yang diberikan dos suntikan vaksin sudah mengatasi angka jangkitan global dan lebih tiga perempat daripada dos vaksin itu diedarkan ke 10 negara kaya. Sehingga kini, terdapat kira-kira 10 vaksin berbeza yang dihasilkan Moderna dan Pfizer-BioNTech telah diberi kelulusan untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia manakala sebanyak 175 vaksin berpotensi dalam fasa penghasilan praklinikal.
Semoga kes aktif Covid-19 dapat dilandaikan di serata dunia, dan kita sebagai rakyat terus mempraktikkan amalan norma baharu dalam kehidupan seharian.
Sumber: Bloomberg