Peningkatan jumlah kes dan penularan wabak Covid-19 di Malaysia sejak belakangan ini, ternyata menimbulkan kerisauan terhadap sesetengah individu. Mana taknya, kadar kematian disebabkan wabak berkenaan itu juga semakin menunjukkan peningkatan.
Artikel berkaitan: ‘Kencing, Berak Semua Atas Katil’ – Bekas Pesakit Covid-19 Stage 5 Cerita Pengalaman
Susulan daripada itu, Team OHBULAN! berpeluang temu ramah seorang gadis yang disahkan positif Covid-19 beberapa minggu yang lalu. Gadis yang dikenali sebagai Farhira Farudin ini menceritakan dari awal bagaimana dia dijangkiti wabak tersebut sehinggalah selesai menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau MAEPS, Serdang.
Kontak rapat kawan baik
Menurut Farhira atau lebih dikenali sebagai Ira, dia merupakan kontak rapat kawannya kerana mereka telah berjumpa pada 1 Januari yang lalu. Selepas daripada pertemuan tersebut, Ira mendapat tahu bahawa kawan baiknya itu mempunyai simpton Covid-19. Secara kebetulan, Ira turut merasakan simptom yang sama pada hari berkenaan.
Jelas Ira, dia sangat jarang untuk jatuh sakit. Namun, pada hari berkenaan dia mengalami hampir semua simptom Covid-19 iaitu demam panas, cirit-birit, batuk kering, sakit tekak dan selsema. Susulan daripada simptom yang dialami, Ira mengambil keputusan untuk melakukan ujian swab. Hasil ujian yang dilakukan, Ira mendapati dirinya positif wabak tersebut. Tambahnya, keadaan batuk dan demamnya juga semakin serius pada saat itu.
Disoal mengenai langkah seterusnya yang dilakukan oleh Ira sebaik sahaja mendapat keputusan ujian saringan Covid-19, gadis ini memberitahu bahawa dia memahami situasi semasa di mana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tengah sibuk. Oleh itu, mereka tidak dapat menjawab panggilannya. Sebagai langkah selanjutnya, dia menghubungi pejabat kesihatan Kepong bagi tindakan susulan. Ujar Ira lagi, dia turut menjalani kuarantin di bilik berasingan semasa mendapat keputusan tersebut. Keluarganya turut membantu dari segi makanan dan keperluan Ira pada masa tersebut. Pada masa yang sama, Ira turut memerlukan pemantauan segera daripada KKM kerana batuk dan demam masih berterusan tanpa henti.
Ambulans datang ambil
Selepas empat hari kuarantin di rumah, akhirnya pejabat kesihatan Kepong angkat call dan mereka minta Ira untuk emailkan keputusan swab test dan maklumat diri. Keesokannya pula, mereka call cakap ambulans akan bawa Ira ke MAEPS petang tu. Jadi, Ira kena berkumpul dekat dewan berdekatan dengan rumah. Dekat situ, kami semua berkumpul sebelum buat health check. Siapa yang ada mild simptom akan dibawa ke MAEPS dan yang kritikal pula akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh. Ira dan lebih kurang 50 orang pesakit dihantar ke Hospital Sungai Buloh terlebih dahulu. Selepas itu, kami dibawa menaiki bas ke MAEPS.
Ira memang berdebar sebelum nak pergi ke MAEPS tu. Sebab Ira sorang dan tak kenal sesiapa. Kebanyakan di situ kuarantin dengan keluarga. Tapi bila dah mengenali pesakit yang lain dalam tu, Alhamdulillah semuanya okay dan Ira tak rasa keseorangan.
Bercerita mengenai proses dibawa ke MAEPS, Ira memberitahu dia tidak bersedia pada mulanya. Ini kerana, perasaan takut dan kurang selesa membelenggu dirinya. Tambahnya lagi, dia rela menjalani kuarantin di rumah sahaja. Namun, keadaan kesihatannya yang lemah dan tidak upaya menyebabkan dia nekad untuk berada di bawah pemantauan KKM.
Kami dari OHBULAN! juga sempat bertanya soalan mengenai layanan petugas di MAEPS dan ubat yang diberikan kepada pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di sana. Menurut Ira, kesemua frontliners merupakan wira negara. Walaupun mereka kelihatan penat dan ‘overwork’, mereka tetap melayan semua pesakit dengan baik. Malah, mereka sangat ceria dan penyabar. Mengulas lebih lanjut, selama empat hari di MAEPS, Ira tidak mendengar petugas barisan hadapan marah walaupun setiap pesakit sering mangajukan soalan yang sama di kaunter pertanyaan. Lebih terharu, kebanyakan pesakit yang discharge menyediakan hadiah untuk frontliners yang menjaga mereka. Frontliners juga turut mendoakan mereka dan memberi nasihat supaya jaga diri.
Mengenai ubat pula, doktor yang bertugas akan bertanya kepada pesakit sama ada mereka memerlukan ubat. Jika sesiapa yang memerlukan ubat, bekalan ubat dan bilik rawatan turut disediakan. Namun, pesakit yang mendapat rawatan di situ dipercayai akan tinggal lebih lama sedikit berbanding pesakit yang lain. Ira turut memberitahu bahawa dia membawa vitamin C, beberapa suplements, ubat selsema dan penadol dari rumah pada waktu itu.
Tak sabar nak balik rumah
Waktu nak habis kuarantin tu memang tak sabar nak balik. Sebab memang tak tahan kena kuarantin. Kehidupan rasa macam tak normal, tak boleh nak borak dengan family. Jadi excited sangat nak balik dan yang penting kena sihat sebelum balik. Tapi, bila dah sampai rumah, Ira rindu suasana dekat MAEPS walaupun Ira hanya duduk di situ selama empat hari sahaja.
Ira dulu pernah terfikir juga bagaimana perasaan kalau kena swab test. Sekali Ira pula kena lalui semua itu. Sampai sekarang masih tak percaya. Dulu Ira rasa Ira masih jaga SOP. Sekarang lepas apa yang terjadi, Ira ada rasa trauma sedikit nak keluar rumah sesuka hati. Sakit ya kena virus ni dan jangan pandang remeh. Covid ni akan buat demam tu rasa 10 kali lagi perit. Insyallah kali ini kita boleh flatten the curve semula.
Sebagai salah seorang pesakit Covid-19, Ira memberi pesanan buat seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa jaga diri dan keluarga. Tambahnya, keluar rumah bila perlu sahaja memandangkan kes semakin meningkat dan Covid-19 ini tidak mengenali siapa diri korang. Sebagai insan biasa, Ira berharap masyarakat menerima norma baharu ini sementara kita sedang menunggu vaksin yang bakal tiba.
Sumber: Farhira Farudin