berita

Cuba Pertahan Ibu Daripada Dirogol, Kanak-Kanak Lelaki Ditetak Sehingga Maut

October 15th, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Di Birem Bayeun, Aceh Timur Indonesia, seorang kanak-kanak lelaki menjadi mangsa bunuh apabila cuba menyelamatkan ibunya daripada dirogol.

Memetik laporan Tribun News, mangsa hanya tinggal berdua bersama ibu sementara bapanya turun ke sungai mencari rezeki buat mereka sekeluarga.

Ditetak hingga maut

Foto: Tribun News

Menurut sumber lagi, pergelutan berlaku ketika suspek cuba merogol si ibu menyebabkan mangsa terjaga daripada tidur. Ketika cuba mempertahankan ibunya, mangsa ditetak tanpa belas kasihan sehingga mati. Menurut ibu, anaknya ditetak di bahagian dada dan perut.

Selepas itu, suspek memasukkan mayat mangsa ke dalam guni sebelum mengheret si ibu ke dalam kebun kelapa sawit. Setibanya di lokasi, si ibu diikat dan suspek merogolnya berkali-kali. Selesai melempiaskan nafsu binatangnya itu, suspek kemudian melarikan diri membawa guni berisi mayat.

Difahamkan, rumah mangsa terletak sedikit terasing daripada rumah penduduk yang lain menyebabkan jeritannya tidak didengari.

Ditemui bersembunyi di kawasan semak

Kejadian ini disedari orang kampung selepas si ibu berjaya meleraikan ikatan dan berlari meminta pertolongan orang ramai. Penduduk kampung kemudiannya melaporkan perkara ini kepada polis dan pencarian suspek dilakukan dengan giat.

Hasil pencarian, suspek berjaya dikesan sedang bersembunyi di kawasan semak berhampiran dengan rumahnya. Walau bagaimanapun, suspek enggan mendedahkan lokasi mayat kanak-kanak lelaki itu dibuang.

Suspek sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara sehingga 18 tahun kerana membunuh dan baru dibebaskan sekitar empat bulan lalu untuk mendapatkan asimilasi Covid-19.

Mayat mangsa ditemui dua hari kemudian oleh seorang nelayan yang sedang mencari ikan di sebatang sungai. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan tetakan di bahagian leher, dagu dan jari kelingking tangan kiri juga tiada dipercayai dipotong oleh suspek.

Sumber: Tribun News

×