
Sempena sambutan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi, tiga figura hiburan iaitu Dafi, Ryan Bakery dan Farel Prayoga tampil dengan sebuah lagu raya baharu berjudul Raya Yay Yay, iaitu sebuah karya ceria yang sarat dengan tenaga dan unsur hiburan.
Artikel Berkaitan: ‘Lagu Raya Tak Perlu Terlalu Kreatif & Bersaing Dengan Trend Sekarang’ – Noraniza Idris
Artikel Berkaitan: ‘Selagi Cara Promosi Lagu Raya Masih Menghormati Ramadan, Rasanya Tiada Masalah’
‘Raya Yay Yay’ ada karakter sendiri

Hanya dengan mendengar rangkap liriknya sahaja sudah cukup untuk membawa sebahagian pendengar kembali mengimbau kegembiraan menyambut Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak dahulu.
Hasil lagu terbitan FYP Media ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Omar K dan John Jeeves, dan telah pun dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu.
Menariknya, kolaborasi sulung antara Dafi, Ryan dan Farel ini bukan sekadar percubaan semata-mata, malah ia berjaya mencipta pengalaman yang manis buat ketiga-tiga mereka.
Menurut Dafi, dia berasa teruja kerana dapat menyambut Syawal tahun ini dengan pelancaran sebuah karya baharu bersama dua penyanyi tersebut.
Sebenarnya rakaman lagu ini dilakukan secara tidak sengaja.
Apabila pihak pengurusan FYP Media menawarkan peluang untuk berganding bersama dengan Ryan dan Farel, ini merupakan peluang yang baik untuk saya.
Saya sendiri belum pernah bergandingan dengan mereka berdua dan banyak perkara baharu yang saya lalui sepanjang proses rakaman berlangsung.
Tambahnya lagi, rentak lagu yang penuh bertenaga ini membuatkan dia perlu benar-benar menghayati karya tersebut bagi memastikan Raya Yay Yay memiliki warna dan karakter tersendiri.
Kesempatan Istimewa

Berbeza pula dengan Ryan yang menganggap lagu tersebut sangat dekat dengan personalitinya yang ceria, selain mahu menyampaikan aura positif kepada para pendengar.
Hari Raya selalu digambarkan dengan kemeriahan dan keseronokan berkumpul bersama saudara-mara dan sahabat handai.
Kemeriahan itulah yang diterjemah oleh pencipta lagu ini ke dalam karya kali ini.
Semangat itu jugalah yang kita cuba gambarkan yang ada menerusi muzik video lagu ini.
Kalau boleh saya mahu semua orang menyambut lebaran dengan suasana ceria dan gembira.
Aidilfitri bukan satu pertandingan.
Kita semua harus nikmati dengan sejuta keinsafan dan menghargai apa yang sedang dinikmati hari ini.
Sementara itu, bagi Farel, peluang merakamkan lagu Raya Yay Yay disifatkan sebagai satu kesempatan istimewa kerana ia merupakan lagu raya pertamanya sejak bergelar penyanyi.
Saya belum pernah menghasilkan lagu raya memandangkan di Indonesia fokus lagunya lebih kepada bulan Ramadan.
Apabila diberikan peluang, pastinya saya tidak mahu lepaskan.
Semoga ‘Raya Yay Yay’ mendapat sambutan baik daripada pendengar sama ada di Malaysia mahupun Indonesia.
Ujarnya lagi, sepanjang sesi rakaman berlangsung, lagu tersebut agak mencabar buat dirinya kerana terdapat beberapa perkataan yang kurang difahaminya.
Ada beberapa perkataan saya tidak faham tetapi lucu.
Sebab itu saya gembira dapat sama terlibat dalam projek ini memandangkan banyak perkara baharu yang dipelajari.
Untuk rekod, Raya Yay Yay telah dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu, manakala muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music bermula 6 Mac lalu.








