berita

Dah 12 Tahun Pujuk Pindah, Tawar Rumah Tetapi Ditolak

April 22nd, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman menafikan dakwaan pihaknya mengabaikan kebajikan sebuah keluarga yang viral di laman sosial. Keluarga tersebut mula mendapat perhatian ramai selepas Ustaz Ebit Lew melakukan kunjungan ke rumah dan menyewakan mereka rumah baru.

Tambahnya, LZNK sebenarnya telah 12 tahun berusaha memujuk keluarga ini untuk berpindah. Keluarga itu juga mempunyai rekod menerima pelbagai bantuan LZNK sejak 2007.

Terima zakat sejak 2007

PAK ISHAK ADALAH AYAH KITA SEMUA

Susulan isu tular mengenai seorang penerima bantuan zakat bernama Ishak bin Haji Darus, saya mewakili pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Ust Ebit Lew dan pasukan serta semua masyarakat awam di atas keprihatinan dalam isu ini.

Kesan daripada isu yang tular ini, terlalu ramai netizen yang mula mengecam dengan kata-kata kesat terhadap semua pihak yang terlibat terutamanya Lembaga Zakat Negeri Kedah seolah-olah semua pihak ini tidak pernah ada sekelumit usaha untuk membantu Pak Ishak dan keluarganya walaupun perkara ini tidak disebut oleh Al-Fadhil Ust Ebit Lew dalam posting beliau.

Untuk makluman semua, Pak Ishak yang tinggal di Lorong Gedebang, Mukim Derga Alor Setar adalah merupakan penerima bantuan zakat bermula sejak tahun 2007 lagi. Berdasarkan rekod dan siasatan kami, antara bantuan yang pernah diterima oleh Pak Ishak sekeluarga daripada pihak LZNK sahaja antaranya adalah Bantuan Makanan Fakir/Miskin Bulanan, Bantuan Kewangan Fakir/Miskin Bulanan, Bantuan Hari Raya Aidilfitri, Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Tahunan Sekaligus dan Bantuan Jaya Diri.

Berdasarkan siasatan kami juga, Pak Ishak kini mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan mempunyai 3 orang anak lelaki dan 7 orang anak perempuan yang masing-masing berumur 33 tahun sehingga 17 tahun. Ada di antara anak Pak Ishak ini yang telah berkahwin dan mempunyai anak. 8 daripada 10 orang anaknya tersebut kini tinggal bersama-sama dengan Pak Ishak di rumah tersebut bersama-sama 10 orang cucu yang lain menjadikan keseluruhan isi rumah yang tinggal di sana seramai 20 orang.

Dah 12 tahun pujuk

Sesungguhnya isu dan kisah Pak Ishak ini amat dekat di hati kami sebagai seorang ayah yang kami sayang. Usaha memujuk Pak Ishak sekeluarga untuk berpindah dari rumah yang tidak terurus di Lorong Gedebang tersebut dan tinggal di rumah baharu telah bermula sejak 12 tahun yang lalu dan telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk jiran-jiran di kampung tersebut, pihak masjid, pihak JKM dan juga ditambah dengan tawaran dua buah rumah daripada pihak Kerajaan Negeri Kedah, namun bermacam alasan yang diberikan beliau untuk mengelak daripada berpindah daripada rumah yang dibina di atas tanah orang tersebut.

Pak Ishak juga telah ditawarkan rumah KEDA di Pokok Sena, namun tetap ditolak oleh beliau sekeluarga atas pelbagai alasan.

Kisah Pak Ishak ini telah berlanjutan dan berulang kali diulang siar di paparan media bagi meraih simpati dan bantuan orang ramai.

Rundingan dan tawaran juga telah dibuat kepada beliau oleh Tuan Tanah tempat tapak rumah tersebut dibina sehingga akhirnya satu salinan Penghakiman dari Mahkamah Majistret telah dikeluarkan bertarikh 5 Februari 2020 yang mengarahkan Pak Ishak sekeluarga berpindah, namun tetap menemui titik gagal sejak sekian lama.

Selain daripad agensi kerajaan, badan NGO serta penduduk kampung juga sentiasa menghulurkan bantuan kepada keluarga ini.

Kerana itu saya amat menghargai usaha Al-Fadhil Ust Ebit Lew dan pasukannya di atas kemahiran mereka yang berjaya memujuk keluarga Pak Ishak keluar daripada kediaman tersebut. Sesungguhnya niat murni ini amat disanjung dalam membantu pihak LZNK menyantuni lebih 15,773 orang asnaf yang ada di negeri Kedah (sehingga 21 April 2020) termasuk Pak Ishak dan masa depan anak-anak dan cucu-cucu beliau yang masih tidak mengerti apa-apa.

Jangan ghairah mencaci

Namun begitu, dalam kita ghairah memberi komen, cacian dan cercaan kepada semua pihak, alangkah baiknya sekiranya kita menahan jari jemari kita dengan menyiasat dan bertabayyun terlebih dahulu daripada pihak-pihak yang terlibat. Sesungguhnya institusi agama ini tidak akan berdiri teguh jika bukan dengan sokongan semua saudara-saudara Islam kita yang sama-sama berganding bahu menunjukkan keprihatinan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Terima kasih juga kepada AJK Masjid Al Irfan Derga, pengurusan kampung dan jiran tetangga di Kg Derga, kerana sejak dahulu lagi mereka mencari jalan serta memberi sumbangan kepada keluarga ini.

Saya mewakili pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah sentiasa terbuka untuk menerima sebarang maklumat yang membina demi menyampaikan amanah para pembayar zakat untuk manfaat ummah di negeri Kedah keseluruhannya.

Zakaria Othman
Zakat Kedah
21 April 2020

Sumber : Zakaria Othman

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×