Pelakon Nabil Aqil dan Alya Iman mengakui enggan terjebak dengan cinta lokasi kerana tidak mahu merosakkan persahabatan mereka yang sudah terjalin sejak 2021.
Nabil, Alya tolak cinta lokasi
Ketika ditemui OhBulan!, Nabil atau nama lengkapnya Mohammad Nabil Aqil Muhammad Salehuddin percaya bahawa kerjasamanya dengan Alya dalam industri seni tanah air ini tidak terhenti di sini sahaja malah mereka mungkin akan bekerjasama dalam projek-projek yang lain.
Oleh itu, dia memilih untuk menjaga status persabahatan dengan Alya kerana tidak mahu merosakkan hubungan baik yang terjalin antara mereka.
Sebenarnya kalau kita sudah temui seseorang yang sesuai dan masing-masing saling mencintai saya rasa tidak salah. Tapi dengan Alya saya nak kekalkan hubungan persahabatan yang sudah terjalin sejak tiga tahun lalu.
Kalau saya buat hal dengan kawan sendiri, ia akan merumitkan lagi perhubungan itu dan menerbitkan perasaan yang tidak seronok.
Sementara itu, Alya atau nama lengkapnya Nur Alya Iman Azmil menganggap cinta lokasi adalah satu perkara yang tidak professional.
Ia sangat tidak profesional kalau individu itu mempunyai niat yang salah dari awal untuk cuba mendapatkan seseorang yang dia suka. Pada saya, itu bukan pelakon yang baik.
Tapi kalau takdirnya berjumpa jodoh di set dan betul-betul nak berkahwin, saya okey saja. Cuma kalau sekadar nak mendapatkan seseorang dengan niat yang salah, saya tidak setuju.
Saya anggap dunia lakonan ini adalah satu kerjaya dan saya enggan mensia-siakan peluang ini. Lagipun tidak mungkin saya akan jatuh cinta dengan Nabil kerana saya sudah mempunyai teman lelaki.
Sekadar info, drama Anggun Mikayla lakonan Nabil dan Alya sudah mula ditayangkan di platform penstriman Viu sejak 25 April lalu.
Drama adaptasi novel karya Liza Nur dan terbitan Global Station itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Razin Qidran, Emelda Rosemila, Lisdawati dan ramai lagi.