Meskipun sudah hampir dua tahun Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim telah pergi menghadap Ilahi, keluarga anggota bomba itu masih belum mendapat pembelaan yang sewajarnya sehingga hari ini. Bahkan, tiada sebarang perkembangan mengenai penangkapan suspek.
Menerusi laporan Harian Metro, bapa arwah memohon pelaku yang membunuh anaknya itu ditangkap segera dan dibawa ke mahkamah untuk pengadilan.
Tidak berpuas hati
Menurut Mohd Kassim Abdul Hamid, sebagai bapa dia berharap pelantikan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara mampu memberi sinar baru buat mereka sekeluarga bagi menuntut pembelaan atas kematian anaknya yang sudah memasuki tahun kedua.
Selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah pada 27 September lalu, kami menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa tapi sampai sekarang tiada sebarang perkembangan. Ia sepi begitu saja, harap polis bersungguh-sungguh menjalankan tugas menangkap suspek. Jangan buat seperti yang lepas, apabila dah tukar kerajaan dan Peguam Negara baharu ini, biarlah ada jalan baharu juga untuk keadilan.
Tambahnya, dia tidak mahu mendengar alasan seolah-olah kes kematian anaknya itu ditutup. Perasaan tidak berpuas hati selagi penjenayah tidak ditangkap turut diluahkan.
Cuba menutup kebenaran
Menurut ibu arwah, Asma Aziz memberitahu bahawa dia tidak pernah berhenti berdoa agar kes arwah anaknya itu mendapat pembelaan yang sewajarnya. Di samping itu, dia yakin semua orang menantikan kebenaran.
Sebagai ibu bapa, saya dan isteri Asma Aziz, 53, tidak putus berdoa supaya kes arwah anak saya mendapat pembelaan sewajarnya. Saya yakin seluruh rakyat Malaysia juga mengharapkan kebenaran. Cuma ‘pemerintah’ sebelum ini cuba menutup kebenaran, rakyat Malaysia tahu perjalanan kes ini dan saya berterima kasih kepada semua yang membantu terutama kepada peguam yang memberikan perkhidmatan percuma kepada keluarga saya.
Saya difahamkan peguam keluarga saya sedang membawa kes saman terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa ini. Ada surat pemberitahuan mengenainya sampai tiga hari lalu, saya juga berharap kes ini akan berjalan lancar.
Terdahulu, Arwah Muhammad Adib telah bertarung nyawa selama 21 hari di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami kecederaan yang parah dalam sebuah rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018. Arwah disahkan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut berkenaan.
Sumber: Harian Metro