Pendakwah dan pengacara, Da’i Annas tampil memberi penjelasan mengenai hukum seorang wanita yang keluar bekerja meskipun masih dalam tempoh edah.
Artikel Berkaitan: Adira Beri Respon Selepas Ditegur Keluar Bekerja Dalam Tempoh Edah – ‘Kalau Duduk Rumah, Anak 4 Orang Siapa Nak Bagi Makan?’
Artikel Berkaitan: Jawi Maklum Siasatan Kes Khalwat Aliff Aziz & Ruhainies Sudah Selesai
Hukum keluar dalam tempoh edah
Ketika ditemui OhBulan!, Annas berkata seseorang wanita itu perlu melalui tempoh edah tidak kira bercerai hidup atau kematian suami dan mereka dinasihatkan untuk duduk di rumah.
Namun begitu, Annas berkata ada kelonggaran yang diberikan sekiranya wanita itu keluar dengan alasan yang muhasabah, misalnya atas urusan pekerjaan.
Berdasarkan ilmu saya, dalam tempoh edah ini ada beberapa rukshah dan keringanan diberikan misalnya sebelum ini ada seorang wakil rakyat yang kematian suami tapi keluar bekerja. Jadi di sini ada pendapat yang lebih cenderung mengatakan kita perlu menjaga tempoh edah, tak boleh keluar dan melakukan perkara yang di luar hukum Islam.
Tapi misalnya seorang ibu perlu menguruskan keluarga tanpa bantuan dari orang sekeliling atau waris anak-anaknya, dia diberikan kebenaran untuk keluar dengan kadar yang tertentu. Cuma dalam hal Adira ini saya tak pasti sejauh mana kepentingan dia keluar.
Kalau bekerja mencari rezeki, kita kena tengok juga kadar keperluan untuk keluarganya tapi saya rasa tidaklah tiada duit langsung untuk makan dan minum. Mungkin ada lagi duit untuk meneruskan kelangsungan hidup. Jadi saya rasa berbalik pada hukum, dia tidak dibenarkan.
Annas berkata demikian ketika ditemui pada sesi rakaman program Tanyalah Ustaz: Akad 40 yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Sementara itu, Annas memberitahu wanita yang bercerai hidup atau mati wajib menjalani tempoh edah seperti mana yang telah ditetapkan menurut hukum syarak.
Tempoh suci bagi cerai mati atau hidup juga berbeza. Mufti Wilayah Perseketuan sebelum ini pernah mengeluarkan artikel berkenaan isu ini, wanita dibenarkan keluar bekerja kalau kematian suami atau kalau diceraikan oleh suaminya dalam keadaan tidak diberikan apa-apa untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kalau tanya saya, saya tidak faham keseluruhan konteks artis itu keluar untuk tujuan apa. Saya tidak mengikuti sangat perkembangan dia (Adira), jadi mungkin konteks yang saya kongsikan di sini mungkin tidak sama dengan apa yang dilalui oleh artis tersebut.
Jika suami sudah meninggal atau bekas suami tidak mampu menyara bekas isteri, waris suami perlu tampung kehidupan bekas isteri dan keluarga sehingga tempoh edah habis.
Sekadar info, hukum iddah menurut syarak adalah wajib ke atas wanita yang bercerai atau kematian suami.
Terdahulu, terdapat pengguna laman sosial mempersoalkan tindakan penyanyi Adira Suhaimi yang keluar bekerja meskipun belum habis tempoh edah selepas bercerai dengan bekas suaminya, Datuk Red pada 23 April lalu.
Menerusi hantaran video di laman sosial TikTok miliknya semalam, Adira memberitahu dia perlu bekerja bagi mendapatkan sumber pendapatan untuk menyara empat orang anaknya.