Seperti yang kita sedia maklum bahawa, pelakon cantik iaitu Intan Ladyana dan pasangan, Harris Alif telah selamat bergelar suami isteri semalam.
Tetapi disebalik kegembiraan tersebut, terselit satu cerita yang kurang enak apabila ada seorang wanita mendakwa bunga tangan (hand bouquet) yang digunakan oleh Intan dipercayai ‘diciplak’.
Tak bagi letak ‘brand’ pada bunga
Berdasarkan kisah yang dikongsikan oleh Hot FM, isu ini mula tercetus selepas pemilik kedai bunga yang dikenali dengan nama Elisa terjumpa gambar Intan Ladyana di Explore Instagram. Dia mendakwa agak terkejut melihat bunga tangan yang digayakan Intan semasa hari pernikahan tersebut kerana ianya sama dengan bunga yang digubahnya.
Bercerita lanjut mengenai kisah ini, Elisa mendakwa sebelum ini, ada individu telah membuat tempahan bunga tangan darinya. Elisa mengakui dia tidak mengenali individu tersebut memandangkan individu itu enggan mengisi borang maklumat yang diperlukan untuk tempahan.
Biasanya untuk tempahan, saya menyediakan borang kepada para pelanggan untuk isi maklumat mereka termasuklah akaun Instagram, tetapi dia tidak mengisinya dan saya anggap dia tidak memiliki Instagram.
Kemudian, dia cakap kepada saya tak perlu letakkan kad. Awalnya, saya macam ‘oh saya memang tak letak sebarang kad, cuma tag ‘brand’ saya sahaja’. Dan dia kata tak perlu letakkan tag ‘brand’ juga, jadi saya akur atas permintaannya.
Terjumpa gambar di Instagram
Elisa hanya menyangka bunga tersebut kemungkinan ditempah untuk rakan individu ini. Tetapi sebaliknya pula yang terjadi apabila mengetahui bunga tangan itu digunakan oleh Intan Ladyana. Dakwa Elisa lagi, dia langsung tidak tahu bahawa individu itu juga merupakan pemilik bisnes bunga tangan (florist) yang juga merangkap penaja pernikahan Intan dan Harris.
Keesokan harinya (6 Februari), Intan ada dalam laman ‘explore’ saya dan bunga tangan itu kelihatan sangat ‘familiar’. Rupa-rupanya, ia memang hasil tangan saya kerana persamaan yang ditonjolkan terlalu banyak, reben pun memiliki warna sama dengan gubahan saya.
Lebih mengejutkan apabila melihat Intan telah memberi kredit bunga tangan itu kepada individu terbabit sebagai penaja pernikahan dan bukannya kepada Elisa.
Sementara itu, Elisa memaklumkan bahawa individu itu sudah pun memohon maaf atas perbuatannya. Dia mengakui terpaksa berbuat demikian kerana tidak dapat memenuhi kontrak yang dijanjikan bersama Intan sebelum ini disebabkan dia sedang berpantang.
Terasa diri dianiaya
Foto: Hot Fm
Sumber: Hot FM, Ellissarsln