Seorang remaja lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) bertindak membakar kediaman neneknya yang terletak di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu selepas didakwa terdengar ‘arahan’ arwah ibunya. Lebih meruntun hati apabila mengetahui rumah papan yang didiami mereka sekeluarga telah terbakar dan musnah 100 peratus.
Dengar ‘arahan’ arwah ibu
Menerusi laporan yang dipetik daripada Astro Awani, sebelum kejadian, remaja yang berusia 14 tahun itu mendakwa telah melihat kelibat arwah ibunya yang sudah meninggal sejak 2 tahun yang lalu. Dia kemudian diarahkan oleh ‘ibu’ untuk membakar rumah terbabit. Difahamkan, ketika kejadian hanya remaja berkenaan berada di rumah manakala bapa dan neneknya berada di rumah saudara mereka.
Menurut nenek saudara iaitu Juriah Salleh, dia mengetahui mengenai insiden itu selepas dimaklumkan oleh jiran tetangga. Dia bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati keadaan rumah itu sudah pun musnah.
Saya menjerit, tanya kenapa rumah terbakar, dia kata dia yang bakar. Dia kata nampak ibu dia, ibu dia dah meninggal, dia nampak ibu dia suruh bakar. Bakar dengan mancis, kertas. Lilin dia letak dalam kain, dia bakar.
Remaja sempat selamatkan diri
Sementara itu, Juriah mengakui cucu saudaranya itu mengalami masalah mental dan kini masih dalam rawatan. Tambah Juriah lagi, kejadian yang sama pernah dilakukan cucu saudaranya pada 4 tahun yang lalu iaitu ketika dia berusia 10 tahun. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya bergegas ke rumah terbabit selepas menerima laporan berhubung kejadian.
Ketika bomba sampai, kebakaran telah 100 peratus. Terdapat seorang mangsa iaitu remaja berusia 14 tahun berada di rumah ketika kejadian. Walau bagaimanapun dia telah keluar ke tempat selamat sebelum ketibaan pihak bomba.
Menurut sumber, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siaasatan.
Sumber: Astro Awani, Sinar Harian