berita

Rumah Hangus Dijilat Api, Empat Beradik Terkorban

March 30th, 2023 | by Wahidah Othman
Kini Trending

Empat adik beradik dipercayai maut dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Lorong Haji Muhammad, Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, malam tadi (Rabu).

Artikel Berkaitan: 296 Penumpang Selamat Insiden Kepala Kereta Api Terbakar

Artikel Berkaitan: Tiga Beradik Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Rumah Dilanda Banjir

Kebakaran

Menurut laporan Berita Harian, pada kejadian sekitar jam 7.49 malam itu, kesemua mangsa iaitu dua kanak-kanak lelaki tiga hingga lapan tahun dan perempuan berusia empat hingga enam tahun ditemukan terkorban.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar, memaklumkan kebakaran itu membabitkan rumah jenis separuh kekal berkeluasan 50×35 kaki. Difahamkan, rumah berkenaan musnah dijilat api sehingga 80 peratus daripada keseluruhan.

Selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya, anggota bomba melakukan pencarian mangsa.

Empat mangsa terdiri dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan empat tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan lapan tahun ditemukan di bilik air rumah mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Dalam masa sama, Shahrizal memberitahu, seramai 20 pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera pemadam (FRT) dan  satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selepas menerima panggilan kecemasan.

Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan semua mangsa disahkan meninggal dunia. Mayat keempat beradik itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×