Sebelum ini, pihak polis mengesahkan mereka menerima laporan mengenai kehilangan barang kemas milik seorang pesakit yang meninggal dunia disyaki akibat Covid-19 ketika dia mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban. Oleh itu, siasatan terhadap kes tersebut telah dijalankan.
Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) mengesahkan barang kemas milik pesakit Covid-19 itu berada dalam simpanan pihak hospital dengan selamat.
Dikembalikan kepada waris
Sekadar gambar hiasan
Menurut Pengarahnya Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, Datin Dr Harlina Abdul Rashid, semua set barang kemas pesakit itu tidak hilang dan sudah dikembalikan kepada waris pesakit pada pukul 4.30 petang semalam.
Siasatan awal mendapati pengadu adalah waris kepada pesakit yang meninggal dunia pada hari yang sama di mana pesakit itu dibawa ke HTJ untuk mendapatkan rawatan. Jenazah mendiang juga selamat diserahkan kepada waris pada jam 9.30 pagi semalam selepas proses pengecaman mayat dilakukan di Jabatan Forensik, HTJ.
Jelas Dr Harlina lagi, perjumpaan bersama ahli keluarga mendiang juga sudah diadakan bagi menjelaskan situasi sebenar dan waris berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.
Dakwa set barang kemas hilang
Sekadar gambar hiasan
Terdahulu, seorang lelaki yang juga anak pesakit mendakwa mereka menyedari kehilangan set barang kemas itu ketika menuntut mayat ibunya semalam. Lelaki tersebut turut mendakwa pihak hospital hanya menyerahkan borang harta benda pesakit serta sebentuk cincin emas.
Lelaki itu turut memberitahu bahawa ibunya masih memakai rantai emas, subang telinga emas, tiga gelang dan sebentuk cincin ketika dia dan kakaknya membawa wanita itu ke bahagian kecemasan di HTJ selepas mengalami demam dan kesukaran bernafas pada Ahad lalu.
Sumber: Harian Metro