Pengarah dan pelakon, Farid Kamil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya yang mendakwa wujud pihak ketiga dalam kemelut rumah tangganya.
Artikel Berkaitan: Plot Twist! Farid Kamil Perjelas Isu Hutang, Dakwa Diana Danielle Hadiahkan Pakej Umrah
Artikel Berkaitan: Diana Danielle Halau Ibu Kandung Keluar Rumah, Farid Kamil Sudah Lama Tak Berjumpa
Permohonan maaf secara terbuka
Difahamkan, kenyataan tersebut dibuat Farid ketika ditemu ramah oleh pengamal media di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, semalam. Menerusi hantaran di Instagram Stories, pelakon berusia 42 tahun ini membuat permohonan maaf tersebut kepada isteri, Diana Danielle dan ibu mentua, Norsiah Ramli.
Saya menarik balik kenyataan saya mengenai soalan dari wartawan berkaitan pihak ketiga. Saya dengan rendah diri memohon maaf secara terbuka kepada ibu mertua saya Puan Norsiah Ramli serta isteri, Diana Danielle di atas kenyataan saya pagi tadi (semalam). Sekali lagi di bulan Ramadan yang mulia ini, saya mohon dimaafkan kekhilafan yang terjadi.
Semalam, Farid mendedahkan sudah lama tidak berhubung dan bertemu dengan ibu mentua selepas mendakwa Diana menghalau wanita itu keluar dari rumah pada 2019.
Terdahulu prosiding sulh pertama telah berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada Selasa. Bagaimanapun, Diana tidak dapat menghadirkan diri dan mahkamah menetapkan tarikh 25 Mei depan bagi pasangan itu menjalani prosiding sulh kedua.
Farid juga ada mengemukakan tawaran perdamaian kepada Diana bernilai RM319,700 antaranya termasuk bayaran balik tiket umrah, sebuah kereta Toyota Vellfire, barangan kemas dan nafkah dari Mac hingga Jun 2023.
Pada 20 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam dengan alasan tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri. Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Sumber: Instagram Farid Kamil