Pelantun suara ‘Berakhirlah Pencarianku’ Ernie Zakri mengakui janggal untuk melihat lagu duetnya bersama Hafiz Suip itu, akan dinyanyikan oleh penyanyi lain iaitu Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SAMM37).
Beri tumpuan penuh lagu sendiri
Menurut Ernie, dia memandang perkara tersebut dari sudut positif meskipun berasa janggal sebaik sahaja mendapat tahu mengenai hal tersebut. Tambah Ernie, dia akan memberikan tumpuan penuh kepada lagunya iaitu ‘Korban’.
Tentunya, janggal untuk melihat lagu yang kita nyanyikan, dinyanyikan oleh penyanyi lain. Tapi, saya tak lihat dari sudut negatif. Dari sudut positifnya, saya dapat memberikan tumpuan penuh kepada lagu saya yang juga adalah karya ciptaan saya sepenuhnya, Korban.
Jelas Ernie lagi, dia juga akan mengambil peluang tersebut sekiranya berada di tempat Wani. Bercerita lebih lanjut, Ernie berkata dia mendapat tahu berita mengenai penggantian penyanyi itu pada minggu lalu. Sebagai anak seni, Ernie mengatakan bahawa segala keputusan adalah bergantung kepada label dan pengurusan. Malah, dia terbuka untuk berkongsi ilmu serta pendapat sekiranya Wani perlukan sesuatu.
Bagi saya, ini adalah peluang untuk Wani meneroka lebih jauh dalam muzik dan satu tanggungjawab untuk digalas olehnya. Kalau saya di tempat dia pun, saya akan terima peluang ini. Jadi, mungkin tak ada rezeki untuk saya menyanyikan lagu itu di SAMM37.
Saya layak memberi kenyataan sebagai penyanyi sahaja. Tanggungjawab saya kepada projek itu adalah selepas ditemukan oleh Rocketfuel dan Nova Music, serta komposer. 100 peratus keputusan bukan di tangan saya. Mereka yang buat keputusan untuk menentukan hala tuju dan matlamat lagu itu.