Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-69 pada tahun ini. Dalam tempoh hampir tujuh dekad, pelbagai perubahan dapat dilihat.

Artikel Berkaitan: Imranul Effendy Seru Rakyat Hayati Erti Kemerdekaan – ‘Merdeka Bukan Sekadar Cuti Umum’

Perubahan negara 

Perubahan negara sejak 1957 hingga 2026 meliputi pelbagai aspek kehidupan seharian di Malaysia, termasuk pembangunan, infrastruktur hingga ke ekonomi dan cara hidup masyarakat.

Pendidikan 

Pada fasa awal kemerdekaan, negara menumpukan kepada akses pendidikan, namun hari ini rakyat mempunyai pilihan yang jauh lebih luas. Daripada pendidikan rendah dan menengah, pendidikan teknik dan vokasional, hinggalah pengajian tinggi.

Jika dahulu, pelajar bergantung sepenuhnya kepada buku teks, perpustakaan dan guru yang menjadi sumber utama pembelajaran. 

Tetapi hari ini, pelajar boleh mendapatkan bahan pembelajaran secara digital, mengikuti pembelajaran dalam talian dan mengakses maklumat dari seluruh dunia hanya melalui komputer atau telefon pintar.

Jaringan komunikasi 

Mendapatkan khabar berita daripada seseorang yang berada jauh di sesebuah lokasi bukan satu perkara mudah pada suatu ketika dahulu.

Surat dan telegram menjadi antara medium komunikasi, manakala telefon pula bukan kemudahan yang dimiliki oleh setiap isi rumah.

Perubahan teknologi komunikasi selepas itu juga berlaku secara berperingkat, dari telefon, radio dan televisyen, telefon mudah alih, internet dan hari ini kita menyaksikan penguasaan telefon pintar.

Bagaimanapun, kemudahan ini turut membawa cabaran baharu. Penyebaran maklumat membuatkan berita disebar dengan pantas, namun di sebalik kemudahan itu penyebaran maklumat palsu juga wujud.

Lanskap pekerjaan

Generasi terdahulu mungkin berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan yang stabil dalam ekonomi yang masih membangun, manakala pekerja hari ini pula perlu sentiasa meningkatkan kemahiran kerana teknologi dan kecerdasan buatan mengubah keperluan pasaran kerja dengan pantas.

Kemerdekaan bukan hanya mengubah di mana rakyat bekerja, tetapi kemahiran amat diperlukan untuk terus memastikan seseorang itu kekal relavan dalam bidang pekerjaannya. 

Daripada getah dan bijih timah kepada data dan teknologi, perjalanan hampir tujuh dekad ini memperlihatkan sejauh mana ekonomi Malaysia telah berkembang.

Hub perhubungan 

Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan, antara cabaran besar negara ialah membina infrastruktur yang mampu menghubungkan masyarakat dan merancakkan pembangunan ekonomi.

Jaringan pengangkutan ketika itu masih jauh lebih terhad berbanding hari ini. Perjalanan antara kawasan juga bergantung kepada jalan raya, kereta api dan pengangkutan laut.

Memasuki era pemodenan, antara yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mula beroperasi pada tahun 1998.

Selain itu, pembangunan pengangkutan awam seperti KTM, LRT, MRT dan ETS menjadikan perjalanan antara destinasi semakin mudah.

Dalam masa yang sama, kemunculan perkhidmatan e-hailing turut memudahkan masyarakat dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain.

Gaya hidup 

Generasi awal kemerdekaan tidak mempunyai pilihan sebanyak masyarakat hari ini. Justeru, radio, panggung wayang dan televisyen menjadi antara sumber hiburan utama mereka.

Bagaimanapun, kini kandungan hiburan berada di hujung jari. Platform penstriman, media sosial dan permainan dalam talian membolehkan seseorang memilih sendiri kandungan yang mahu ditonton atau didengar pada bila-bila masa.

Lebih menarik, rakyat hari ini bukan sekadar menjadi pengguna namun, sesiapa sahaja boleh menjadi pencipta kandungan dan membina kerjaya melalui platform digital.

Jika dahulu kehidupan bermasyarakat banyak berlaku secara bersemuka, berkunjung ke rumah jiran, berkumpul di kedai kopi atau menghadiri aktiviti komuniti, hari ini sebahagian interaksi berlaku dalam ruang digital.

Kesimpulannya, perubahan Malaysia dapat dilihat daripada pendidikan yang semakin meluas, jaringan komunikasi yang semakin pantas, landskap pekerjaan yang semakin pelbagai, sistem perhubungan yang menghubungkan seluruh negara sehinggalah gaya hidup yang semakin moden, semuanya mencerminkan perjalanan Malaysia sejak 1957.

69 tahun merdeka bukan sekadar tentang sejauh mana negara berubah, tetapi juga tentang sejauh mana kehidupan rakyat turut berkembang seiring dengan terbukanya minda mereka untuk membangun menjadi modal insan yang lebih mampan.

Sumber: Malaysia Gazette, Berita RTM