
Upacara pembukaan Piala Dunia 2026 yang berlangsung hari ini dilihat tertumpu kepada persembahan yang ditunggu-tunggu iaitu daripada penyanyi terkenal antarabangsa, Shakira bersama Burna Boy.
Artikel Berkaitan: 10 Stadium Bola Sepak Ikonik Di Dunia Yang Wajib Dikunjungi Sekali Seumur Hidup
Artikel Berkaitan: 10 Pemain World Cup 2026 Paling Kacak Yang Curi Perhatian Dunia
Shakira & Piala Dunia
Detik bersejarah bermula apabila Shakira dan Burna Boy mendendangkan lagu rasmi kejohanan bola sepak terbesar dunia itu yang berjudul Dai Dai.
Stadium Azteca di Mexico meriah dengan sorakan puluhan ribu penonton yang membanjiri lokasi berkenaan bagi menyaksikan sendiri persembahan tersebut sebelum perlawanan pertama berlangsung.
Tinjauan OhBulan! di media sosial mendapati rata-rata warganet turut teruja melihat bintang berasal dari Colombia itu kembali beraksi menghangatkan lagi ‘demam’ Piala Dunia.
Kemunculan penyanyi berusia 49 tahun itu mengundang rasa nostalgia dalam kalangan peminat sukan bola sepak yang membesar dengan lagu-lagu ikonik Piala Dunia nyanyiannya.
Ramai berpendapat bahawa Shakira dan Piala Dunia sudah tidak dapat dipisahkan, malah namanya kini dianggap sinonim dengan kejohanan bola sepak paling berprestij itu.
Dalam masa yang sama, ada juga yang menyifatkan kehadiran Shakira membawa semula semangat dan kemeriahan Piala Dunia.
Bagi segelintir peminat, apabila menyebut sahaja Piala Dunia, nama Shakira adalah antara figura pertama yang terlintas di fikiran, membuktikan betapa besar impak yang ditinggalkan penyanyi tersebut dalam sejarah kejohanan itu.
Shakira sebelum ini pernah mencipta fenomena global menerusi lagu Waka Waka (This Time for Africa) yang menjadi lagu rasmi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Lagu tersebut bukan sahaja mencatat jutaan tontonan dan pendengar di seluruh dunia, malah kekal menjadi antara lagu tema Piala Dunia paling popular sepanjang zaman.
Selain itu, Shakira juga pernah tampil dengan lagu La La La untuk Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Brazil.
Sebagai info, Piala Dunia edisi kali menyaksikan 48 pasukan akan bersaing dalam 104 perlawanan dan kemuncak acara ini dijadualkan bakal berlangsung di New Jersey pada 19 Julai.
Penganjuran Piala Dunia 2026 juga turut dianjurkan bersama Amerika Syarikat dan Kanada.
Sumber: Threads, Berita Harian








