
Argentina menerima tamparan hebat di pentas akhir Piala Dunia apabila gagal mempertahankan kejuaraan selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi di Stadium MetLife, New Jersey.
Artikel Berkaitan: ‘Insya-Allah, Satu Hari Nanti Malaysia Tuan Rumah Piala Dunia’ – Zahid Hamidi
Artikel Berkaitan: Ini 7 Lokasi Skrin Gergasi Paling Meriah Untuk Tonton Final Piala Dunia 2026
Argentina akur, Sepanyol kini juara

Argentina mencipta rekod tidak diingini apabila menjadi pasukan pertama dalam sejarah final Piala Dunia yang gagal melakukan sebarang percubaan sepanjang 90 minit permainan.
Sepanyol jelas mendominasi aksi apabila menghasilkan 20 percubaan berbanding hanya dua daripada Argentina. Lebih mengecewakan, Argentina hanya berjaya melakukan percubaan pertama pada masa tambahan menerusi rembatan Lionel Messi yang berjaya disekat pemain tengah Sepanyol, Mikel Merino.
Tekanan bertambah buat skuad kendalian Lionel Scaloni apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Enzo Fernandez dilayangkan kad merah susulan menerima kad kuning kedua sebelum tamat masa sebenar.
Bagaimanapun, benteng Argentina akhirnya runtuh pada minit ke-106 apabila Ferran Torres menyempurnakan hantaran Pedro Porro untuk memastikan kemenangan buat La Roja.
Sementara itu, Messi yang tampil dalam penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia tidak dapat menyembunyikan emosi apabila menitiskan air mata ketika menerima pingat naib juara.
Kapten Argentina itu turut menerima tepukan gemuruh daripada seluruh stadium sebagai tanda penghargaan terhadap legasinya.
Namun, suasana selepas perlawanan menjadi perhatian apabila berlaku kekecohan selepas wisel penamat apabila Leandro Paredes mencetuskan pertelingkahan dengan menolak Gavi dan Eric García, menyebabkan pemain Argentina itu turut dilayangkan kad merah.
Selain itu, skuad Argentina turut menerima kritikan selepas tindakan mereka membelakangi padang dan menghadap penyokong sendiri ketika pemain Sepanyol menerima pingat kemenangan.
Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan Sepanyol melengkapkan kejayaan luar biasa apabila memegang gelaran juara Eropah dan dunia secara serentak, mengulangi pencapaian mereka pada 2010.
Sumber: The Guardian








