BBNU atau singkatan kepada Budak Baru Nak Up pernah menjadi istilah yang cukup popular dalam industri hiburan Malaysia sekitar awal 2010-an yang merujuk kepada kelompok penyanyi muda meningkat naik menerusi pengaruh media sosial seperti YouTube, Facebook dan Twitter (X).

Berbekalkan gitar akustik, karya ciptaan sendiri dan sokongan peminat di alam maya, nama penyanyi BBNU era 2010-an ini berjaya mencetuskan fenomena sehingga lagu-lagu mereka menjadi siulan hingga kini.

Selepas lebih sedekah berlalu, ramai mula tertanya-tanya, ke mana perginya penyanyi BBNU yang pernah menguasai carta muzik dan laman media sosial suatu ketika dahulu?

Artikel Berkaitan: Najwa Latif Kongsi Video Romantis Dengan Akwa Arifin, Peminat Single Murung Tengok

Artikel Berkaitan: Netizen Teruja Ainan Tasneem Rancang Buat Konsert Bersama Tasha Manshahar – ‘Ajak Najwa Latif Sekali Please’

3 gadis gitar akustik cipta fenomena

1. Najwa Latif

Jika menyebut era BBNU, nama Najwa Latif pasti menjadi individu pertama yang terlintas di fikiran. Penyanyi yang mula dikenali menerusi video nyanyian di YouTube ini mencipta fenomena luar biasa apabila lagu Cinta Muka Buku menjadi popular sekitar tahun 2011.

Kejayaan itu diteruskan lagi dengan beberapa buah lagu lain seperti Kosong, Sahabat, Adamu, dan lagu duet bersama Sleep berjudul Untuk Dia. Gaya persembahannya yang ringkas bersama gitar akustik serta imej sederhana membuatkan Najwa mempunyai kelompok peminat yangs angat besar.

Ketika popularitinya berada di kemuncak, Najwa membuat keputusan yang jarang dilakukan oleh selebriti seusianya apabila memilih untuk memberi keutamaan kepada pendidikan. Najwa kini berkhidmat sebagai pensyarah Bahasa Inggeris bagi program TESL di Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil.

Walaupun masih menerima undangan nyanyian dan sesekali melancarkan karya baharu, fokus utama Najwa kini lebih tertumpu kepada akademik.

Namun begitu, setiap kali muncul di media sosial atau membuat persembahan khas, peminat pasti mengimbau semula zaman kegemilangannya. Malah, ramai yang meminta Najwa untuk membuat ‘showcase’ sulungnya.

2. Tasha Manshahar

Nama Tasha Manshahar pernah menjadi antara penyanyi BBNU paling popular sekitar awal 2010-an. Tasha mula dikenali menerusi lagu-lagu seperti Be Mine, Bukan Aku, Terima Kasih Cinta bersama RJ, selain duet ikonik bersama Syed Shamim menerusi Selamat Ulang Tahun Cinta. Ketika itu, Tasha dikenali sebagai antara penyanyi generasi YouTube yang berjaya mencipta kelompok peminat tersendiri.

Berbeza dengan beberapa rakan seangkatannya yang masih aktif dalam industri hiburan, Tasha memilih untuk mengundurkan diri sepenuhnya daripada dunia seni dan memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai pendidik.

Sejak tahun 2016, Tasha berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Melaka. Di sekolah, Tasha menggunakan nama rasminya, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, atau lebih mesra dikenali sebagai Teacher Nadia.

Dalam kehidupan peribadi, Tasha mendirikan rumah tangga bersama bekas penyampai radio Zayan, Raqib Majid, dan kini menjalani kehidupan sebagai isteri serta ibu.

Walaupun sudah meninggalkan dunia nyanyian, nama Tasha Manshahar masih dikenang oleh peminat yang membesar dengan lagu-lagunya. Sesekali, video dan lagu-lagu popularnya kembali tular di media sosial, membuktikan nostalgia terhadap era penyanyi BBNU masih kekal sehingga hari ini.

3. Ainan Tasneem

Ainan Tasneem merupakan antara pelopor awal penyanyi yang mencipta nama menerusi platform YouTube sebelum berjaya menembusi industri muzik arus perdana.

Namanya meledak sekitar awal 2010-an menerusi lagu ciptaannya sendiri, Aku Suka Dia, yang menjadi fenomena dalam kalangan anak muda. Selain itu, lagu 150 Juta, hasil ciptaan Fynn Jamal, turut melonjakkan popularitinya dan menjadikan Ainan antara penyanyi BBNU paling dikenali ketika itu.

Pada tahun 2017, Ainan mengambil keputusan untuk memperlahankan kerjaya seni selepas mendirikan rumah tangga. Kini, Ainan lebih memberi tumpuan kepada keluarga, namun tidak meninggalkan dunia muzik sepenuhnya.

Walaupun tidak lagi aktif sebagai penyanyi rakaman, Ainan masih menerima tawaran membuat persembahan di majlis-majlis tertentu dan acara korporat. Ainan juga aktif di Instagram dengan memuat naik video nyanyian semula (cover) lagu-lagu popular serta sesekali mengadakan persembahan busking.