berita

Dasar Revolusi Perindustrian (4IR) Negara Dilancarkan- Ini Manfaatnya Buat Generasi Masa Kini!

July 5th, 2021 | by Nurul
Kini Trending

Sedar ataupun tidak, dunia makin pesat berkembang dengan pelbagai inovasi teknologi canggih yang secara tidak langsung mempengaruhi gaya hidup kita kini.

Untuk membantu mempersiapkan generasi muda negara untuk masa depan pendigitalan, pada 1 Julai 2021, kerajaan telah melancarkan Dasar 4IR Negara, bagi mentransformasi pembangunan sosioekonomi, sekaligus mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi.

Dasar 4IR Negara ini juga akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam meningkatkan kemahiran pekerja di Malaysia, sekaligus menjadi negara berpendapatan tinggi dan berdaya saing.

4 teras utama Dasar 4IR Negara

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, dasar ini mengandungi 4 teras utama yang menyasarkan 3 kumpulan iaitu masyarakat, perniagaan dan kerajaan.

Antara 4 teras dasar tersebut adalah:

1. Mempersiapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR

2. Membina negara yang mempunyai ketersambungan melalui pembangunan insfrastuktur digital

3. Menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya fleksibel mengikut perubahan teknologi

4. Mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.

Masyarakat

Melalui Dasar 4IR Negara, rakyat akan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik. Teknologi akan digunakan untuk mencapai keseimbangan yang lebih baik antara kerja dan kehidupan, peningkatan kemudahan, tranformasi kepada pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi, peningkatan kesejahteraan sosial dan alam sekitar yang mampan.

Perniagaan

Perniagaan akan menjadi lebih produktif, berdaya saing dan inovatif serta lebih banyak peluang dapat diadakan dengan Dasar 4IR Negara.

Kerajaan

Kerajaan berpacukan teknologi akan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkesan dan moden bagi memenuhi keperluan rakyat.

Selain itu, Dasar 4IR juga akan dipacu oleh lima teknologi asas iaitu:

1. Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence)

Tech Spy Magazine

Teknologi kecerdasan buatan amat popular pada masa kini dan berpotensi besar dalam mengautomasikan operasi dan kerja yang berulang-ulang serta amat penting dalam membantu menyelesaikan tugasan kompleks dalam masa yang singkat.

Mempunyai kepintaran seperti manusia, teknologi kecerdasan buatan banyak memudahkan kehidupan kita sekarang seperti mesin deposit wang, robot vakum, robot pembuatan, kereta pandu sendiri dan banyak lagi.

2. Internet Benda (IoT)

Lifewire

Internet benda atau internet of things (IoT) dalam bahasa mudahnya adalah kaedah yang boleh menghubungkan internet dengan peralatan, mesin, sensor dan peranti serta dapat berkomunikasi dengan orang lain melalui internet dan dikendalikan dari jauh.

Contohnya seperti kamera CCTV, smartwatch, smartlock dan banyak lagi.

3. Blockchain

The Economic Times

Blockchain adalah teknologi yang boleh menyimpan data internet dalam bentuk blok berangkai, boleh dikawal dan diselia, telus, selamat serta mustahil untuk digodam.

Data atau maklumat tersebut hanya boleh diubah jika ada persetujuan atau consensus antara semua komputer dalam jaringan blockchain.

Contoh-contoh aplikasinya adalah seperti transaksi di dalam industri kewangan, kesihatan, perniagaan, insuran dan proses vaksinasi.

4. Pengkomputeran awan dan analitis data raya

Helpjuice

Sistem pengkomputeran awan (cloud computing) membolehkan pengguna untuk menyimpan dan mengolah data secara virtual dengan jaringan internet tanpa perlu memuat naik aplikasi dan memori penyimpanan.

Antara sistem cloud computing yang sering digunakan adalah Google Drive, media sosial, Dropbox dan lain-lain lagi.

Makeuseof

Manakala, analitis data raya pula adalah teknik canggih dalam menganalisis kumpulan data yang sangat besar untuk mendapatkan maklumat penting, sekaligus membantu mengurangkan kos, penjimatan masa, pembangunan produk dan membuat keputusan.

5. Bahan dan Teknologi Termaju

Penggunaan bahan-bahan dan teknologi termaju adalah sangat penting dalam kehidupan seharian kita dan ia menjamin fungsi, ketahanan jangka panjang, keselamatan, keserasian semua peranti di sekitar kita seperti mesin dan perkhidmatan pada masa ini dan juga masa akan datang.

Arab News

Menurut Mustapa, walaupun 4IR dilihat memberi cabaran penggantian tenaga kerja disebabkan automasi, penggunaan robot dan kecerdasan buatan (AI), tetap ada potensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan serta kualiti kehidupan.

Turut bersama melancarkan Dasar ini, Menteri Sains, Teknologi  dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, “Dasar 4IR Negara adalah komitmen kerajaan dalam mempersiapkan masyarakat dan perniagaan untuk menghadapi cabaran serta memanfaatkan peluang daripada revolusi perindustrian ini”.

Untuk maklumat lanjut tentang Dasar 4IR Negara, layari Facebook Rasmi Unit Perancang Ekonomi dan Facebook Rasmi Kementerian Sains dan Inovasi (MOSTI).

SKIP THIS AD ×