berita

Datuk Aziz Satar Bakal Muncul Dalam Filem Animasi Upin & Ipin

December 5th, 2012 | by Ai
Filem Antarabangsa

Sempena cuti sekolah, pihak Bananana TV9 dan Les Copaque Sdn Bhd bakal menayangkan episod akhir Upin & Ipin untuk musim keenam dengan bertemakan ‘Kenangan Mengusik Jiwa.’

Menerusi episod  kali ini, pihak produksi Les Copaque bakal menampilkan Datuk Aziz Satar sebagai karakter khas dan menurut pengarah kreatif Les Copaque, Usamah Zaid, pihaknya sudah lama untuk menghasilkan jalan cerita yang berunsurkan filem P.Ramlee seperti ini.

“Dah agak lama juga nak buat cerita P.Ramlee, lagipun anak-anak sekarang dah lama tak didedahkan dengan filem sebegini.”

“Sebagai anak seni yang membesar dengan filem-filem P.Ramlee, rasanya saya harus memberikan penghargaan buat seniman agung tersebut dan secara tidak langsung anak-anak kecil zaman sekarang boleh mengenali P.Ramlee dengan lebih jelas.”

Mengulas lebih lanjut mengenai pemilihan karakter Datuk Aziz Satar untuk episod terakhir kali ini, Usamah menyifatkan ia sebagai satu karakter yang ideal dalam mengetengahkan tribute filem P.Ramlee memandangkan Datuk Aziz pernah bekerjasama dengan seniman agung tersebut suatu ketika dahulu.

“Sebelum ini pihak kami memang pernah bekerjasama dengan Datuk Aziz menerusi lagu ‘Atukku Sayang’ dan apabila pihak kami sekali lagi memanggil beliau untuk membuat tribute P.Ramlee, beliau bersetuju dan terus berminat untuk membuat ‘recording’ suara.”

“Datuk Aziz sememangnya seorang yang suka berlawak dan sewaktu proses ‘recording’ berlangsung, beliau telah menghasikan skrip secara spontan.”

Menyentuh mengenai tema yang sering difikirkan untuk cerita Upin & Ipin, Usamah memaklumkan yang pihaknya sering memilih tema yang berkait rapat dengan kehidupan seharian kanak-kanak masa kini.

“Pihak kami sering memilih jalan cerita yang ‘simple’ dan ia sering dikaitkan dengan kisah harian kanak-kanak sekarang. Sebagai contoh, sebelum ini kami pernah menghasilkan tema berkaitan ‘bersunat,’ ‘menabung,’ dan untuk tahun hadapan kami bakal hasilkan cerita berkaitan Tahun Baru Cina dan juga Gigi Susu.”

Memandangkan pihak Las Copaque telah lama tidak mengeluarkan filem, jadi timbul persoalan bilakah agaknya cerita Upin & Ipin bakal difilemkan seperti sebelum ini?

Lantas jejaka ini menjawab, “Buat masa sekarang kami masih tengah buat dan rancang untuk mengeluarkan filem, tetapi belum pasti lagi bila. Kami tak nak semua orang tertunggu-tunggu, jadi bila semuanya dah pasti baru kami akan beritahu.”

“Sekarang ini pihak kami tak cukup kakitangan untuk lakukan semua proses animasi. Lagipun kami sedang sibuk mencari pelabur untuk melabur dalam perniagaan ‘Taman Tema’ kami.”

“Kalau boleh, kami ingin mempelbagaikan produk dan tidak terhad kepada cerita Upin & Ipin sahaja.”

Bagi peminat-peminat Upin & Ipin, jangan ketinggalan untuk saksikan episod akhir musim keenam Upin & Ipin pada 16 Disember ini jam 6 petang, hanya di TV9.

Kanak-kanak berusia 4-15 tahun turut berpeluang untuk menyertai pertandingan Upin & Ipin diakhir episod dengan hanya menjawab satu soalan serta lengkapkan slogan yang bakal diberikan.

SKIP THIS AD ×