Mulai dari hari ini, semua premis makanan dan restoran yang beroperasi selama 24 jam bakal dihadkan tempoh operasi mereka dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam sahaja. Hal tersebut dimaklumkan Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan.
Premis perniagaan di Kuala Lumpur
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tindakan tersebut diambil sejurus Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini dikeluarkan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, arahan terbabit melibatkan kesemua premis perniagaan makanan restoran yang beroperasi 24 jam di Kuala Lumpur. Kaedah penjualan makanan hanya dibenarkan secara pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang.
DBKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik perniagaan yang gagal mematuhi arahan ditetapkan. Di samping itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa arahan tersebut selaras Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020. Ianya akan tertakluk kepada perubahan arahan terkini dari semasa ke semasa.
Penutupan semua bentuk perniagaan yang tidak ‘essential’
Di samping itu, DBKL telah menguatkuasakan penutupan semua bentuk perniagaan yang tidak ‘essential’ di sekitar Kuala Lumpur. Kesemua peniaga diarah menutup perniagaan mereka serta merta dan notis turut dikenakan.
Sumber: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur