Gara-gara merentas daerah dan negeri untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung, segelintir individu di Kuala Terengganu didakwa sebagai punca 90 individu disahkan positif Covid-19 di negeri tersebut.
Menerusi laporan Harian Metro, perbuatan itu terbongkar selepas ramai ahli keluarga didapati positif Covid-19 di satu lokaliti yang sama.
Beri pelbagai alasan
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, seramai 13 individu melakukan rentas negeri dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan 40 ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19. Tambah beliau lagi, di daerah Hulu Terengganu, tindakan sembilan individu rentas negeri juga menyebabkan 26 ahli keluarga mereka positif Covid-19.
Di daerah Kemaman pula, lapan individu melakukan rentas negeri serta daerah menyebabkan 24 ahli keluarga disahkan positif. Secara keseluruhannya, 90 disahkan positif Covid-19 disebabkan kegagalan 30 individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
17 pekerja positif
Nor Azimi turut memaklumkan mengenai sebuah pasar raya yang terpaksa ditutup selama 14 hari kerana 17 orang pekerjanya disahkan positif Covid-19.
Mereka ini tentunya bertebar di beberapa daerah, pasti ribuan orang masuk ke pasar raya itu masa nak raya baru ni. Cuba bayangkan. Orang larang rentas negeri atau daerah untuk beraya kita buat juga dengan memberi pelbagai alasan…balik dari zon merah secara senyap-senyap akhirnya satu keluarga positif.
Sumber: Harian Metro