Pelakon senior, Delimawati mendedahkan hampir tujuh bulan dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon sehingga menyebabkannya hilang punca pendapatan.
Artikel Berkaitan: ‘Terima Kasih Abang Mamat Hiburkan Hati Arwah Mak Saya’ – Zul Ariffin
Tiada job
Ketika ditemui OhBulan!, Delimawati yang kini tinggal bersama anaknya berkata, disebabkan itu dia perlu berjimat cermat dalam segala perkara termasuk perbelanjaan harian.
Saya dah lama tak keluar rumah atau pergi ke mana-mana. Salah satu sebabnya saya sudah lama tiada tawaran berlakon. Hampir tujuh bulan juga.
Sekarang ini, bila nak keluar, macam-macam nak kena fikir. Duit minyak dan tol lagi. Saya tak malu nak bercerita sebab ini perkara betul.
Saya kini hanya duduk dengan anak. Apa yang anak makan, itu juga yang saya makan. Kini kami hanya mengharapkan menantu sebab dia seorang sahaja yang bekerja.
Anak-anak yang menjadi harapan saya pula, sudah meninggal dunia. Rasa macam tiada harapan lagi. Kini tinggal yang bongsu sahaja bersama saya.
Delimawati berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan kepada artis veteran yang berlangsung di Ngam Ngam Restoran, IOI Mall Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Delimawati berkata, dia merasakan tawaran berlakon yang diterima semakin berkurang selepas pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid meninggal dunia.
Sejak arwah Mamat tiada, tawaran memang sedikit. Kalau arwah masih ada, ada juga filem-filem yang dia akan buat untuk menaikkan nama artis vateran supaya orang masih tahu kita aktif.
Ketika ini, ramai yang ingat saya tak aktif. Peminat kerap tanya di Facebook. Saya masih aktif tapi tak diperlukan. Itu sumber rezeki kita tapi orang tak panggil.
Mungkin sekarang ini, pelakon yang dahulu pegang watak anak, kini dah jadi mak. Tinggal apa lagi untuk kami? Jadi nenek atau hantu je ke?
Mungkin mereka melihat kami ini tidak memerlukan pekerjaan hari-hari. Kami ada rumah, kereta dan perbelanjaan yang perlu dibayar.
Melanjutkan bicara, pelakon yang popular menerusi filem Hantu Kak Limah itu berkata dia tidak akan merayu pada mana-mana pihak produksi untuk memanggilnya.
Mereka bukan tak kenal saya. Takkan la saya nak telefon pengarah suruh ambil berlakon. Saya sudah berlakon sejak tahun 1987. Mereka tahu kemampuan saya.
Kalau mereka mahukan khidmat saya, mereka akan panggil. Kalau tak panggil tu, faham sendiri la.