Kumpulan Masak Apa Tak Jadi Harini Official di laman Facebook, sering menghiburkan netizen menerusi perkongsian ahli-ahli yang terdapat dalam kumpulan tersebut. Lazimnya, ahli-ahli kumpulan tersebut akan berkongsi kisah dan foto menu masakan mereka yang tidak menjadi. Malahan, nama kumpulan ini juga pernah disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menyampaikan ucapan khas berkaitan Covid-19.
Namun, ini kisah yang lain pula terjadi apabila seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Amanda Omeychua, menceritakan pengalamannya memasak ikan jenis Koi yang dibela di kolamnya.
Menu kayangan
Foto: Amanda Omeychua
Menerusi beberapa keping foto yang dikongsi, menujukkan ikan Koi dijadikan sup sebagai hidangan buat keluarganya. Selain itu, ikan Koi tersebut dijadikan hidangan berikutan ikan-ikan yang dibelanya mati lemas akibat tindakannya yang tidak menutup air. Demi mengelakkan sebarang pembaziran, dia mengambil langkah untuk memasak ikan tersebut.
Resipi turun temurun hidangan diraja,rasa ikan patin.
Jelas wanita itu, rasa ikan Koi itu persis seperti rasa ikan Patin yang terkenal di negeri Pahang. Tidak berakhir di situ, sebelum ikan tersebut dipotong kepada beberapa bahagian, dapat dilihat saiz ikan itu mencecah 30 centimeter (cm). Posting tersebut juga telah dikongsi lebih 12k pengguna Facebook yang lain dan ratusan komen terhadap menu itu.
Memang boleh dimakan
Tidak berakhir di situ, terdapat juga pengguna lain yang turut keliru sama ada ikan Koi ini boleh dimakan ataupun sebaliknya. Menerusi ruangan komen, terdapat juga netizen yang lain menceritakan pengalaman mereka memakan ikan Koi ini.
Namun, terdapat juga netizen yang beranggapan ikan tersebut tidak boleh dimakan kerana ia merupakan ikan peliharaan yang dibela di dalam akuarium.