Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal mengakui tidak berkecil hati dengan kecaman yang diterima susulan kontroversi membabitkan dirinya berkenaan ceramah agama yang disampaikan dikatakan melanggar peraturan tauliah.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ustaz Don Mohon Maaf Isu Jawapan Mengelirukan Mengenai Berpuasa Di Hari Tasyrik – ‘Semoga Allah Mengampuni Dosa Kita Semua’
Artikel Berkaitan: Ustaz Don Berterima Kasih & Hargai Segala Teguran – ‘Semoga Allah Merahmati & Memberkati’
Tak kecil hati
Menerusi laporan Mstar, Ustaz Don memberitahu dia membaca setiap komen yang ditulis oleh netizen di media sosial dan menganggap mereka tidak tahu mengenai apa yang berlaku.
Saya baca semua komen di internet, tapi tak apa, sebab mereka tidak tahu. Dalam Islam pena diangkat dalam tiga jenis orang, iaitu orang tak tahu menjadi tahu, orang yang lupa sampai dia ingat, orang yang tidur sampai terjaga.
Dalam kata lain, netizen tak tahu apa yang berlaku. Tidak mengapa.
Berbicara lebih lanjut, Ustaz Don memohon semua orang membuat pertimbangan sewajarnya dan menyelidik terlebih dahulu maklumat sebelum memberikan komen tanpa usul periksa.
Dalam hidup, ada sesetengah perkara yang perlu kita lakukan perbandingan. Saya menyeru semua orang membuat perbandingan dengan akal fikiran waras dan cerdas. Ketika anda mencari maklumat tentang saya, carilah juga maklumat tentang pihak lain.
Disoal mengenai beberapa program melibatkan dirinya yang terpaksa dihentikan kerana kontroversi berkenaan, Don menjelaskan tindakan itu dibuat atas keputusannya sendiri demi menjaga kepentingan semua pihak.
Ujar Ustaz Don lagi, dia memahami pihak yang berurusan dengannya itu perlu mengikut perintah yang telah diberikan oleh pihak berkuasa.
Semua yang bekerjasama dengan saya adalah orang yang berakhlak. Salah satu ciri akhlak yang baik ialah mentaati pemimpin. Jadi, apabila mereka mendapat arahan, mereka hanya ikut.
Malah sebenarnya, saya sendiri yang menasihati mereka untuk menghentikan kolaborasi. Tidak mengapa, ini semua bukan penamat.
Di akhir perkongsian, Ustaz Don berkata, dia tidak terkesan dengan apa yang berlaku sebaliknya, sentiasa berfikiran positif dan menganggap semua yang terjadi adalah satu ujian buat dirinya.
Saya hidup seperti biasa, perjalanan seperti biasa. Kita tak boleh nak ubah situasi kerana bukan kita yang berkuasa, Allah lebih berkuasa walaupun kita nampak ada pihak tertentu, cuma takdir begitu. Kita tidak boleh mengubah perkara ini tetapi kita boleh tentukan bagaimana kita memberi reaksi kepada situasi ini.
Alhamdulillah saya anggap ini adalah peluang untuk merancang dan mengatur semula pekerjaan saya. Semua perkara dalam hidup adalah ujian, ini bukan hukuman sepanjang hayat. Saya ada sokongan keluarga, rakan-rakan.
Sumber: Mstar