Kucing merupakan antara haiwan kesayangan Nabi. Siapa yang tak jatuh hati dan tertarik dengan kecomelan si bulu ini. Ramai antara kita yang bela kucing di rumah tak kiralah jenis apa sekali pun. Namun pernahkah korang membantu kucing jalanan yang lain di luar sana?
Menerusi laporan Malay Mail, seorang wanita yang dikenali sebagai Nazirah Abd Rahman, sanggup menghabiskan masanya di salah sebuah kafe di Ipoh, Perak untuk menjadi badut. Menurutnya, wang yang diperoleh hasil menjadi badut digunakan untuk menjaga kebajikan haiwan jalanan terutama kucing.
Jadi badut sejak 4 tahun yang lepas
Menurut laporan Malay Mail, wanita yang berusia 42 tahun itu, merupakan seorang perunding kecantikan pada hari minggu, manakala pada hari biasa dia akan bekerja sebagai seorang badut. Menjadi seorang badut sejak 4 tahun yang lepas membuatkan wanita tersebut berjaya menjaga kebajikan haiwan jalanan terutama kucing.
Selain daripada memberikan makanan kepada haiwan jalanan, Nazirah juga akan membawa mereka ke klinik haiwan sekiranya perlu. Dia yang turut mempunyai 50 ekor kucing di rumah berkata, sebanyak RM400 akan dibelanjakan setiap minggu untuk haiwan-haiwan jalanan itu.
Perlukan 30 minit untuk bersiap
Di samping itu, dia turut memberitahu bahawa hanya 30 minit sahaja masa yang diperlukan untuk dirinya bersiap menjadi seorang badut sebelum menghiburkan orang ramai. Tambahnya, kedua-dua cahaya matanya kini diterapkan dengan sifat yang sama agar mereka sentiasa sayangkan haiwan. Jika mereka terlihat mahupun terjumpa haiwan yang berada dalam kesakitan dan mati mereka segera bawa pulang ke rumah untuk diberikan rawatan.
Harap ada yang sudi ikut
Menerusi Facebook Pinkgirl Tuminah Tukiman, Nazirah berharap dengan viralnya kisah mengenai dirinya, masyarakat di luar sana dapat melakukan perkara yang sama. Tambahnya, sepanjang dia melakukan perkara tersebut, dia sering dibantu oleh masyarakat ketika berhadapan dengan masalah. Sebagai contoh, ketika dirinya dalam perjalanan pulang daripada menjadi badut, minyak motornya habis di tengah jalan. Tiba-tiba ada seorang uncle Cina datang membantunya di saat dia ditimpa masalah.
Semoga murah rezeki
Rata-rata netizen memuji sikap wanita tersebut yang cinta akan haiwan. Di samping itu, mereka turut mendoakan wanita itu dimurahkan rezeki kerana sifatnya yang terpuji.
Sumber: Malay Mail & Pinkgirl Tuminah Tukiman