
Penyanyi, Hafiz Suip, berkongsi bahawa dia banyak mendapatkan panduan daripada rakan-rakan selebriti seperti Hazama dan Akim Ahmad dalam membantu isterinya, iaitu Fiona Saffiyya bagi menyesuaikan diri sebagai saudara baharu dalam Islam.
Artikel Berkaitan: Hafiz Suip Tak Izin Isteri Kembali Bernyanyi – ‘Kalau Ada Projek Yang Kami Perlu Bekerjasama, Boleh’
Artikel Berkaitan: Hafiz Suip Kongsi Detik Awal Pengenalan, Dedah Arwah Ibu Jadi Pendorong Utama – ‘Fiona Tahu Nak Uruskan Saya’
Belajar dari kawan rapat

Ketika ditemui OhBulan!, Hafiz atau nama penuhnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 36, memaklumkan bahawa dia mengambil pendekatan untuk bertanya serta belajar daripada pengalaman rakan-rakan yang pernah melalui situasi sama, bagi memastikan proses pembelajaran isterinya berjalan dengan lancar.
Apa sahaja ilmu yang saya ada, saya ajar dan ada juga bertanya dengan kawan-kawan.
Akim dan Hazama pun berkahwin dengan seseorang yang baru peluk agama Islam.
Jadi kami berkongsi pendapat dan pengalaman.
Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan baik.
Kalau isteri saya tanya, ada juga benda yang saya sendiri kena rujuk ustaz dulu sebelum jelaskan.
Berkongsi lanjut, Hafiz turut menceritakan kisah mencuit hati pada hari pertama mereka bersahur bersama.
Hari pertama, saya kata, bangun sahur macam biasa.
Tapi dia masak lauk macam makan tengah hari.
Ada ayam kicap, sayur campur, lengkap semuanya.
Saya terkejut dan cakap pada dia, ‘Masak yang mudah saja’.
Selepas itu dia ikut nasihat dan masak lebih ringkas.
Tambahnya lagi, kehadiran isterinya turut memberi kesan positif terhadap gaya hidupnya, khususnya dalam soal perbelanjaan ketika membeli juadah berbuka.
Biasanya saya beli macam-macam.
Tapi kali ini dia selalu ingatkan saya supaya beli apa yang perlu sahaja.
Betul juga, tak perlu membazir.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Seri Syawal Usanita yang diadakan di Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Pengalaman raya bersama

Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Ku Akui’ itu turut berkongsi bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini amat bermakna buatnya kerana ia merupakan kali pertama isterinya meraikannya sebagai saudara baharu.
Selain itu, ia memberi pengalaman baharu dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri.
Tahun ini merupakan kali pertama kami menyambut raya bersama.
Yang menariknya kerana ia pengalaman baru, bukan sahaja bagi dia, tetapi untuk saya juga.
Beraya sebagai suami isteri dan melihat dia menyambut sebagai saudara baru memberi pengalaman yang bermakna.
Dalam masa sama, Hafiz memaklumkan bahawa sambutan Syawal kali ini diraikan secara sederhana susulan pemergian ibunya, Allahyarham Halizawati, pada November lalu, yang masih dirasai kehilangannya oleh seluruh ahli keluarga.
Tahun ini, ayah cakap kita sambut raya cukup ala kadar, tak perlu rumah terbuka.
Pulang ke rumah nenek terasa sedikit kekosongan kerana ibu selalu ceria dan meriahkan suasana keluarga.
Kehilangan itu dirasai seluruh keluarga.
Sementara itu, Fiona menyifatkan pengalaman pertamanya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan sebagai satu perjalanan yang cukup bermakna.
Ini kali pertama saya berpuasa penuh.
Sebelum ini, ikut kawan sahaja, tapi kali ini betul-betul baru dan banyak benda saya belajar daripada suami.
Imbas kembali, Hafiz sah bergelar suami kepada Fiona dalam majlis yang berlangsung di sebuah dewan di Petrajaya Kuching pada 13 Februari.
Majlis yang diadakan secara tertutup itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat.
Untuk rekod, Hafiz sebelum ini pernah berkahwin dengan Nureffy Jasreel pada 2016 dan sah bercerai pada Mei tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 9 dan Muhammad Alkaf Zayne, 6.
Selain itu, Fiona yang berbangsa Bidayuh dilaporkan sah bercerai kira-kira lima tahun lalu bersama seorang lelaki berketurunan Cina dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.








