
Seniwati, Fauziah Ahmad Daud mengakui sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengetua rancangan realiti terbaharu, Asian Pop Stars 2025.
Artikel Berkaitan: ‘Selagi Tidak Menyebut Nama Saya, Dia Selamat’ – Ogy Hairan Dikaitkan Isu Adzrin Adzhar Diherdik Pelakon Veteran
Artikel Berkaitan: Adzrin Adzhar Dakwa Pernah Berdepan Situasi Sama Dengan Shila Amzah – ‘Dia Siap Saran Produksi Gugurkan Nama Saya’
Curahkan ilmu & pengalaman

Berbekalkan pengalaman selama lima dekad dalam industri, Fauziah atau mesra disapa Ogy, 63, berkata, dia akan mencurahkan segala ilmu yang dimiliki kepada para peserta selain menitikberatkan mutu serta kualiti persembahan.
Saya lihat rancangan ini mempunyai hala tuju yang bagus. Apabila dilamar menjadi pengetua, saya terus berfikir ini adalah masa yang tepat untuk berkongsi ilmu.
Dengan siapa lagi saya harus wariskan ilmu dan pengalaman selama lima dekad saya jika tidak kepada para peserta.
Bagi yang mengenali saya, saya adalah seseorang yang tidak boleh bertolak ansur apabila melibatkan kualiti dan mutu. Saya tidak kisah jika rupa anda cantik atau kacak, tapi jika tiada kualiti, maaf sangat.
Ogy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Asian Pop Stars 2025 yang berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Kuala Lumpur, pada Rabu.
Majlis tersebut juga telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Berkongsi lanjut, pelakon yang popular menerusi filem Azura berkata, dia akan bersikap tegas dan profesional dengan para peserta.
Saya memang tegas apabila melibatkan soal kerja kerana saya juga mendapat guru-guru yang tegas. Saya memang tegas, para peserta perlu bekerja sebagai seorang yang profesional.
Seni bukan sesuatu perkara yang boleh dibuat main-main, perlu jujur dan mengutamakan mutu persembahan.
Lahirkan bintang bertaraf dunia

Asian Pop Stars 2025 bakal melahirkan bintang bertaraf dunia dari benua Asia dan Malaysia khasnya. Malah pemenang dan lapan finalis lain akan dihantar menjalani persiapan khas untuk mengekalkan momentum mereka sebagai bintang selepas pertandingan berakhir.
Asian Pop Stars 2025 dianjurkan dan diterbitkan buat kali pertama oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM).
Sementara itu, Pengerusi PGDM, Datin Seri Dr. Harnie Mohamed berkata, kesemua finalis akan menerima biasiswa khas pengajian seni persembahan selama satu bulan di ASWARA dan dua bulan di Korea Selatan.
Kami di PGDM berbesar hati dan menyahut cabaran untuk menganjur dan menerbitkan pertandingan ini dalam usaha mencari bakat yang mampu bergelar bintang bertaraf dunia.
Lebih teruja, ini kali pertama buat kami dan julung kali juga sebuah NGO menganjur dan menerbitkan pertandingan realiti seumpama ini di negara kita.
Program ini bakal menghimpunkan 20 peserta berbakat dari seluruh Asia yang akan melalui latihan intensif dan persembahan mingguan selama lima minggu.
Asian Pop Stars 2025 bakal memulakan siaran langsungnya setiap hari Sabtu malam bermula 29 November 2025 di saluran nasional RTM, bermula jam 9.00 malam.
Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah utama berupa USD20,000, piala pusingan dan sijil pengiktirafan.
Maklumat lanjut berhubung APS boleh didapati menerusi platform sosial media @asian.pop.stars dan laman web https://asianpopstars.asia/








