Hari ini media dunia melaporkan Dr Li Wenliang, doktor terawal di Wuhan China yang memberi amaran mengenai penularan coronavirus disahkan meninggal dunia. Memetik laporan Astro Awani, Dr Li menghembuskan nafas terakhir pada 2.58 pagi tadi akibat jangkitan wabak ini walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.
Dijangkiti coronavirus
We deeply mourn the death of #Wuhan doctor Li wenliang, who unfortunately got infected with novel #Coronavirus while battling with the epidemic. After all-effort rescue, Li passed away on 2:58 am, Feb. 7. pic.twitter.com/mbYA3wB4pn
— People’s Daily, China (@PDChina) February 6, 2020
Hospital Pusat Wuhan turut memaklumkan perkara ini melalui sebuah kenyataan di laman sosial.
Pakar oftalmologi Li Wenliang dari hospital ini, telah dijangkiti coronavirus ketika bekerja memerangi virus ini. Dia yang menghidap pneumonia akibat jangkitan coronavirus baharu, meninggal dunia jam 2.58 pagi pada 7 Februari 2020.
Difahamkan, Dr Li disahkan positif coronavirus pada 1 Februari setelah demam dan batuk teruk sejak 10 Januari. Dia dipercayai dijangkiti salah seorang daripada pesakit yang sedang dirawatnya.
WHO ucap takziah
Pengarah Eksekutif WHO, Dr Mike Ryan menerusi laman Twitter rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menzahirkan rasa takziah dan sedih dengan pemergian Dr Li. Katanya, semua pihak perlu menghargai usaha kerasnya memerangi wabak.
Menurut sumber CNN, Dr Li merupakan orang terawal yang memberi makluman mengenai wabak coronavirus. Pada Disember 2019, Dr Li memuatnaik satu hantaran di group alumni perubatan memberitahu 7 orang pesakit dari pasar makanan laut tempatan mempunyai simptom SARS dan sedang dikuarantin di hospital tempatnya bekerja. Dia memberi peringatan kepada rakan-rakan dan saudara mara supaya memakai mask dan perlindungan diri untuk langkah pencegahan.
Sejurus selepas itu, dia dituduh menyebarkan khabar angin tidak sahih. Dia salah seorang doktor yang dituduh cuba mencetuskan suasana panik mengenai wabak. Walaubagaimanapun, pada Januari dia jatuh sakit dan disahkan positif coronavirus pada 1 Februari.
Sumber : Astro Awani , CNN