Ibu kepada wartawan hiburan yang meninggal dunia di London, Siti Nor Hafiza Kamarudin iaitu Siti Nooriah Hasan memaklumkan, dia ada membuat panggilan video sebelum arwah dijemput Ilahi.
Artikel Berkaitan: Wartawan Hiburan, Fiza Kamarudin Meninggal Dunia Di London
Ibu terkilan
Ketika ditemui OhBulan, Nooriah berkata dia menyaksikan arwah dalam keadaan nazak ketika berada di wad sebuah hospital di sana.
Sewaktu di London, suami arwah ada bagitahu yang arwah dah tak sihat. Dia hantar gambar sebelum arwah pengsan.
Masa dalam wad, suaminya ada buat panggilan video dan saya ada bercakap dengan arwah. Dia panggil nama saya, saya panggil namanya juga.
Esoknya ada buat panggilan video lagi dan nampak dia dalam keadaan sudah nazak. Nafasnya macam sudah ke atas-atas.
Nooriah berkata demikian ketika ditemui di Masjid Jamek Kg Baru, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dalam pada itu, Nooriah berkata dia akui terkilan apabila tidak dapat berada di sisi arwah di saat akhir.
Bagaimanapun, dia reda dengan ketentuan Allah SWT.
Tipu kalau tak terkilan tak dapat jumpa arwah buat kali terakhir. Ada cakap dengan suaminya, kalau jenazah tak bawa balik pun tidak apa. Kebumikan di sana (London). Saya reda dengan pemergian dia, merelakan sahaja.
Sementara itu, Nooriah berkata arwah ada memberi bayangan akhir akan meninggal dunia sehari sebelum dia berangkat ke London.
Dia ada bergurau dengan saya, dia kata dah nak meninggal, saya jawab orang yang sakit tak semestinya akan meninggal, ada sahaja yang sihat.
Arwah cakap dengan adik juga, dia nak duduk rumah saya, sebab dah bosan duduk rumah sendiri. Dia pun bergurau, kalau nak ambil rumah dia, ambillah.
Terdahulu, industri kewartawanan tanah air berduka selepas dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di London ketika bercuti di sana bersama keluarga akibat pendarahan otak.
Fiza, 40, dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.
Allahyarham merupakan bekas pesakit kanser payudara namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.
Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London kali ini merupakan hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.