Nama penyanyi dangdut Amelina menjadi sebutan ramai selepas tular video tindakan seorang lelaki memukul seorang wanita dengan kejam.
Artikel Berkaitan: Pukul Kepala & Tendang Berkali-Kali, Video Ganas Suami Pukul Isteri Cetus Amarah
Biar polis buat siasatan
Memetik laporan Harian Metro, Amelia enggan terkait dengan video zalim tersebut. Kata Amelina, 48, sekiranya benar individu itu adalah bekas suaminya seperti yang didakwa, bukan haknya untuk keluarkan sebarang kenyataan.
Saya tak boleh nak komen apa-apa, biar polis jalankan siasatan. Kalau betul dia adalah bekas suami saya, dia dah jadi masa lalu saya.
Maknanya, dia dah tak ada kena mengena dengan saya. Jadi, saya mohon agar tidak dikaitkan lagi isu ini dengan saya.
Pemilik nama Norazlina Amir Sharipuddin turut ditanya sama ada dia sudah menonton video berdurasi satu minit tujuh saat.
Saya tak mahu menonton video itu.
15 tahun ambil masa sebelum bercerai
Pernah melalui fasa perkahwinan dan penceraian, Amelina menjawab persoalan mengenai keputusannya untuk bercerai selepas mengambil masa selama 15 tahun sebelum nekad.
Saya sendiri mengambil masa 15 tahun untuk membuat satu keputusan yang paling tepat sebab saya tak mahu merisikokan orang di sekeliling.
Dalam pada itu, pelantun lagu Semakin Rindu Semakin Asyik memohon orang ramai agar tidak menghina mangsa kekerasan dalam rumah tangga kerana ia meninggalkan kesan trauma.
Jangan hina mangsa kekerasan dalam rumah tangga. Mereka yang berada dalam situasi ini sebenarnya terikat dengan beberapa perkara iaitu ketaatan kepada agama, suami dan persekitaran.
Kesannya bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi juga mental dan bagi mereka yang pernah mengalaminya, ia meninggalkan trauma yang besar.
Jangan terlalu ‘menekan’ mereka yang menjadi mangsa ini. Janganlah dikata mangsa-mangsa ini, bodoh. Hanya Allah yang tahu, apa yang mereka rasakan.
Pada Khamis, tular dalam media sosial video memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung seorang wanita, sebelum mangsa diheret dan ditendang berkali-kali pada bahagian muka serta badan.
Lebih membuatkan netizen geram, tindakan ganas itu dilakukan di hadapan kanak-kanak perempuan serta seorang wanita yang didakwa pembantu rumah pasangan berkenaan.
Terdahulu, Amelina pernah mendirikan tangga dengan ahli perniagaan, Reduan Mahamood pada 26 April 1999, namun bercerai pada 29 Jun 2016.
Sumber: Harian Metro