Aktif membantu golongan kurang bernasib baik dan teraniaya, Syed Azmi sering berkongsi pengalaman ketika turun padang meninjau orang memerlukan. Selain bantuan kewangan, Syed Azmi turut menyumbang dari segi tenaga membantu merawat dan membersihkan diri warga emas.
Terbaru, beliau berkongsi kisah sedih dimana seorang lelaki tua diabaikan keluarga sendiri. Isteri dan anak-anak masing-masing jijik dan tidak sanggup mencuci tubuh tua yang sakit.
‘Pakcik, ni Mi dah sampai’
Syed Azmi diminta ke sebuah rumah meninjau keadaan seorang lelaki tua yang diserang strok. Dengan pergerakan yang terhad, lelaki ini sudah tentu tidak mampu untuk menjaga diri sendiri. Apabila sampai, Syed Azmi segera ke bilik namun pakcik hanya diam dan memandang ke arah lain.
Pakcik masih mempunyai isteri yang 20 tahun lebih muda dan anak-anak yang berumur lingkungan 20an. Mereka memberitahu badan pakcik berbau busuk. Jururawat hospital enggan membersihkan pakcik dan meminta mereka menguruskannya sendiri.
‘Abg tak bau ke?’
Anak lelaki memberitahu badan bapa berbau najis dan air kencing. Si ibu menjelaskan tiada siapa yang sanggup dan mereka geli dengan bau yang melekat. Malah, si isteri mengakui tidak tidur di bilik yang sama semenjak suami jatuh sakit.
Kesal dengan penerangan yang diterima, Syed Azmi tanpa berlengah segera membersihkan badan pakcik. Dia melihat sekeliling, ada sebuah baldi yang penuh dengan sisa buangan. Syed Azmi ambil, bawa ke tandas dan bersihkan.
‘Mi cuci badan pakcik sikit nak?’
Selain baldi, dia turut membersihkan tabung air kencing yang kelihatan sudah kuning dan berkerak seperti lama tidak dicuci. Selepas itu, dia menawarkan diri untuk memandikan pakcik. Pakcik bangun secara perlahan-lahan menuju ke bilik air. Mungkin pakcik segan orang luar membantunya membersihkan diri, Syed Azmi pun sama.
Isteri dan anak tak sanggup buat
Sementara mandi, Syed Azmi minta anak-anak bersihkan bilik dan menukar cadar. Pakcik hanya memandangnya kosong dan memberitahu kesal dengan kelakuan anak isterinya. Syed Azmi tahu pakcik sedih tapi sedaya upaya cuba mengalihkan perhatian dengan gelak kecil.
Walaupun diajar cara penjagaan, isteri pakcik hanya ketawa kecil dengan berkata ‘jijik, geli, nak muntah’.
Jangan buat orang tua kecil hati
Geram dengan sikap tersebut, Syed Azmi mendoakan agar makcik tidak menerima nasib yang sama. Dalam kereta, dia menangis semahunya. Dari kecil, dia diajar supaya tidak mengecilkan hati orang tua. Pakcik semestinya sedih, kecewa, dibuang, sunyi dan terbeban. Tiada siapa yang mahukan pengakhiran hidup sebegitu.
Sumber : Syed Azmi