Tidak meletakkan harapan tinggi, pelakon Diana Dianelle mengakui tidak berharap untuk membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Imaginur di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang bakal berlangsung pada 7 Disember ini.
Artikel Berkaitan: FINAS Anjur Program Sesi Tayangan & Apresiasi Filem Selama Lima Hari Sempena Festival Filem Malaysia Ke-33
Artikel Berkaitan: Sabri Yunus Tercalon Top 5 Pengarah Terbaik FFM33 – ‘Berada Dalam Senarai Ini Pun Satu Pencapaian Tertinggi Buat Saya’
Tak letak harapan
Menganggap kemenangan sebagai bonus, Diana atau nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, ditempatkan dalam lima terbaik sudah cukup membuatnya gembira.
Saya tidak meletakkan harapan untuk menang Pelakon Wanita Terbaik, kerana filem Imaginur sudah melimpah ruah rezekinya.
Penerimaan positif daripada penonton sudah cukup menggembirakan. Saya sangat menghargai apabila orang ramai menerima lakonan saya dalam filem ini.
Jika industri memberi penghargaan itu adalah satu bonus. Niat saya tidak pernah mengharapkan sebarang penghargaan.
Saya percaya apabila jika memberikan yang terbaik dalam lakonan, orang akan memberi pujian. Itu yang membuatkan saya bahagia.
Diana berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan filem Imaginur dan apresiasi FFM33 yang berlangsung di Midvalley, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Calon lain lebih layak
Tutur Diana lagi, dia tidak berharap untuk membawa pulang trofi tersebut kerana merasakan ada figura yang lebih layak memenanginya.
Pesaingan sangat sengit, berada dalam Top 5 pun sudah cukup gembira. Tetapi kita semua tahu dalam Top 5 itu siapa yang lebih layak menang.
Saya tidak akan menyebut nama figura itu, tetapi saya sendiri berharap dia yang akan menang.
Saya mahu figura itu naik atas pentas dan terima penghargaan tersebut. Saya akan gembira jika dia menang. Saya tahu usaha yang dia letakkan dalam lakonnnya.
Selain Diana, antara pesaing lain dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik adalah Nadia Aqilah (EVA), Susan Lankester (Rain Town), Nabila Huda (Rahsia) dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).
15 pencalonan
Sementara itu, penerbit Lumatic Films Sdn Bhd yang juga pengarah filem Imaginur, Nik Amir Mustapha, 39, berkata, dia tidak menyangka filem terbitannya itu berjaya mendominasi dengan mendapat 15 pencalonan.
Nik Amir berkata, dia bersyukur kerana filem genre sains fiksyen romantik itu bukan sahaja tercalon dalam kategori Filem Terbaik, sekali gus bolos dalam kategori barisan pelakon utama dan pembantu serta pasukan kru produksi filem berkenaan.
Soal kemenangan, saya fikir anugerah seperti ini terpulang kepada barisan juri yang membuat penilaian ke arah genre cerita yang bagaimana mereka pilih nanti.
Kalau mereka ke arah genre cerita tertentu, kami terima sahaja keputusannya sama ada filem menang atau kalah besar pada malam kemuncak FFM 33 nanti.
Bercerita mengenai persaingan, Nik Amir, berkata, pastinya filem Imaginur bersaing sengit dengan filem Abang Adik serta Sheriff, tetapi berlainan dalam kategori dan genre.
Saya sudah menonton filem Abang Adik karya Jin Ong itu dan ia juga filem yang bagus. Begitu juga Sheriff arahan Syafiq Yusof.
Tanyalah pada semua calon pun pastinya semua berharap filem mereka akan menang tapi kita tunggu sahaja keputusan pada malam kemuncak.
Pecah panggung
Berkongsi kekuatan filem Imaginur pula, kata Nik Amir, mungkin ramai penonton dapat ‘relate’ dengan jalan cerita filem berkenaan sehingga berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM6 juta.
Hasrat saya buat filem ini memang untuk tontonan rakyat Malaysia. Saya mahu kongsi karya genre filem yang disukai dan tidak biasa disajikan kepada penonton tempatan.
Kejayaan filem Imaginur diharap dapat menarik lebih ramai lagi penonton untuk menerima genre sains fiksyen romantik selepas ini
Menampilkan lakonan mantap, Diana Danielle dan Beto Kusyairy, filem Imaginur berjaya mendapat 15 dari 24 kategori pencalonan pada FFM 33 membabitkan kategori seperti Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Selain itu, filem itu turut membolosi kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Filem Terbaik.
Malam kemuncak FFM33 berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media
jam 9 malam pada 7 Disember ini.