Di Ukraine, dua beradik berusia 5 dan 1 tahun berjaya ditemui dan diselamatkan oleh pihak polis selepas ditinggalkan kebuluran oleh ibunya sehingga mereka terpaksa memakan bekas styrofoam dan kertas dinding. Apa yang lebih mengejutkan apabila wanita itu dikatakan tinggal sekali di dalam rumah tersebut tetapi dia tergamak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan membiarkan anak-anaknya itu kebuluran.
Tidak diberi makan
Menerusi laporan Daily Mail, Diana dan adiknya, Anya didakwa diabaikan dan langsung tidak diendahkan oleh ibunya walaupun mereka tinggal di bawah satu bumbung yang sama. Wanita yang berusia 25 tahun itu juga didakwa tinggal bersama-sama dengan teman lelaki di dalam rumah tersebut.
Salah seorang jiran tetangga yang menyedari keadaan kanak-kanak itu tidak diberi makan oleh ibunya kemudian bertindak melaporkan kepada pihak polis untuk menyelamatkan kedua beradik itu.
Wanita itu dan teman lelakinya seringkali bertengkar dan bergaduh antara satu sama lain. Mereka sentiasa menjerit dan memarahi kanak-kanak itu serta diabaikan sehingga keadaan mereka dilihat terlalu kotor.
Keadaan rumah jijik dan kotor
Tambahnya lagi, apabila melalui rumah wanita ini pasti akan ada bau busuk dan tidak menyenangkan. Menurut sumber polis, Diana dan Anya dikatakan hanya memakan apa-apa sahaja yang mereka temui di dalam rumah tersebut.
Apabila pegawai polis tiba di rumah tersebut, mereka amat terkejut melihat keadaan rumah itu yang jijik sehingga mereka tidak dapat membayangkan bagaimana kedua beradik ini mampu tinggal dalam keadaan rumah yang kotor seperti itu.
Keadaan yang dilihat amat teruk sekali apabila tandas di rumah itu rosak menyebabkan mereka hanya menggunakan tab mandi yang diselaputi kotoran tebal dan cacing membiak di situ. Ada bau yang terlalu busuk hingga sukar untuk bernafas.
Kanak-kanak ini tidur beralaskan kain yang kotor, makan menggunakan pinggan yang tidak dibasuh dan bermain di atas lantai yang dipenuhi dengan sampah.
Diberi makan sebulan sekali
Menurut jurucakap polis, Ludmila Kopylenko berkata wanita dan teman lelakinya dikatakan tidak bekerja dan hanya membelanjakan wang saraan yang diperuntukkan untuk anak-anaknya itu.
Kanak-kanak itu hanya diberi makan sekali sebulan manakala ibunya menggunakan semua wang terbabit untuk membeli arak.
Kanak-kanak ini kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan tersebut mendapati mereka mengalami jangkitan kutu dan kekurangan zat.
Walau bagaimanapun, pihak polis kemudian melaporkan kejadian itu kepada jabatan kebajikan dan mereka akan memfailkan saman terhadap wanita ini kerana mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.
Sumber: Daily Mail, Harian Metro